SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tidak akan berkompromi dengan aktivis dan pemimpin politik mana-mana parti yang masih berdegil mengajar agama Islam tanpa tauliah di surau dan masjid di negeri ini.
Golongan tersebut katanya, berdepan dengan tindakan denda sehingga RM3,000, penjara sehingga dua tahun.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, peringatan dan amaran keras sudah diberi, namun pengajar atau penceramah didapati masih menyelitkan unsur politik semasa berceramah, maka tindakan perundangan perlu dizahirkan.
“Hasil aduan orang ramai yang mendengar ceramah agama oleh pemimpin politik, ada diselitkan unsur politik. Kita turut menerima bukti rakaman video.
“Keadaan ini menyebabkan suasana tidak harmoni di surau atau masjid dalam kalangan ahli-ahli kariah yang bukan semua daripada parti politik yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Geran Rumah Pemulihan Riqab MAIS di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian (PKP) Selangor, malam tadi.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd. Sany Hamzan menganggap pemimpin Pas sebagai derhaka, kerana melanggar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengarahkan masjid dan surau tidak terlibat dengan ceramah agama Islam oleh pemimpin dan aktivis politik tidak bertauliah.
Menurutnya, tindakan pemimpin Pas, Ahmad Dusuki Abdul Rani menyampaikan tazkirah selepas solat Isyak 5 April lalu di Masjid Nurul Iman Rawang jelas melanggar titah baginda Sultan Selangor dan arahan khusus MAIS.
Abdul Aziz berkata, setiap laporan tentang aktiviti ceramah tanpa tauliah akan disiasat sebelum tindakan lanjut diambil berdasarkan segala bukti yang ada.
Mengulas mengenai umat Islam yang terlibat dengan kegiatan yang mencemarkan kesucian bulan Ramadan seperti tidak berpuasa beliau tidak menerima laporan sedemikian.
“Setakat ini pihak MAIS tidak menerima laporan tentang kegiatan umat Islam tidak berpuasa dan makan atau minum di khalayak ramai,” ujarnya.- UTUSAN










