Pembukaan sempadan giatkan pemulihan sosio-ekonomi Johor

Pembukaan sempadan giatkan pemulihan sosio-ekonomi Johor

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kesyukuran baginda atas pembukaan semula sempadan antarabangsa negara khususnya sempadan Malaysia-Singapura, hari ini.

Titah baginda, pembukaan semula sempadan itu akan merancakkan lagi usaha pemulihan negara, khususnya negeri Johor daripada pandemik Covid-19.

“Hubungan simbiotik dengan negara jiran kita yang terdekat akan pulih lebih baik selepas pembukaan sempadan.

“Ia juga memberi kesan baik kepada sosio-ekonomi dengan keluarga dapat bersatu semula setelah lama terpisah dan semakin banyak perniagaan boleh diteruskan apabila orang ramai mula meneruskan kehidupan seperti biasa,” titah baginda dalam kenyataan hari ini.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Singapura atas usaha keras serta kesepakatan berterusan yang membawa kepada pembukaan sempadan hari ini.

Baginda turut bertitah mengingatkan rakyat walaupun negara sedang memasuki fasa endemik, semua pihak masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) asas yang telah diamalkan sepanjang tempoh pandemik.

“Masih banyak yang belum diketahui tentang penyakit Covid-19 dan varian-variannya serta kesan jangka masa panjang.

“Kita mesti tetap berjaga-jaga dan terus mengamalkan tabiat-tabiat norma baharu yang telah kita sesuaikan diri sejak dua tahun lalu bagi mengurangkan risiko kepada kesihatan kita,” titah baginda.

Sempadan antarabangsa Malaysia kembali dibuka bermula hari ini selepas ia ditutup akibat pandemik Covid-19 sejak 18 Mac 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN