KUALA LUMPUR: Pejuanita Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Wilayah Persekutuan menggesa siasatan semula dijalankan ke atas kematian seorang bayi lelaki berusia 10 bulan pada 3 Mei 2020.
Ketua Pejuanita Wilayah Persekutuan, Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, kes kematian itu perlu dibuka semula bagi mengenal pasti punca sebenar kematian itu.
Katanya, ini berikutan kematian bayi itu, Muhammad Adam Rizqi Abdul Azim tular menerusi hantaran media sosial, baru-baru ini didakwa mempunyai kaitan dengan isu penderaan di pusat perlindungan Rumah Bonda di Taman Setapak, di sini.
“Tujuan kami membuat laporan berkaitan isu ini adalah supaya polis menjalankan siasatan terhadap punca kematian bayi berkenaan termasuk melakukan proses bedah siasat semula bagi tujuan itu memandangkan dia (Adam) didakwa diasuh di pusat perlindungan Rumah Bonda yang dikendalikan oleh Siti Bainun.
“Justeru, kami percaya perkara ini (kematian Adam) adalah kes yang perlu dibuka semula dan disiasat segera kerana arwah tidak dilibatkan dalam proses bedah siasat untuk mengetahui apu punca kematian bayi terbabit,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Setiawangsa, hari ini.
Kes Adam mula muncul semula selepas orang ramai mula memberikan perhatian terhadap perbicaraan kes penderaan Bella yang berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Adam yang juga kanak-kanak istimewa dipercayai ditempatkan di rumah perlindungan sama dengan Bella sekali gus membuatkan ramai tidak menolak kemungkinan bahawa kematian bayi lelaki itu berlaku atas faktor pengabaian. – UTUSAN