Pegawai polis, warga emas dituduh lepas 11 suspek kes Macau Scam

Pegawai kanan polis, warga emas dituduh lepas 11 suspek kes Macau Scam

SEORANG pegawai kanan polis berpangkat Asisten Superintenden (bertopi, baju hitam) dan seorang lelaki warga emas (baju kuning) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas dakwaan melepaskan 11 warga asing suspek Macau Scam tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN:  Seorang pegawai kanan polis berpangkat asisten superintenden dan seorang lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dakwaan melepaskan 11 warga asing yang juga suspek Macau Scam warga China, tahun lalu.

Tertuduh, ASP Mohamad Azrim Abu Bakar, 41, dan S. Muniandy, 62, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd. Wahab.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Azrim didakwa mengingkari arahan undang-undang untuk menyerahkan 11 warga asing kepada Jabatan Imigresen dengan niat semua warga asing itu dapat diselamatkan daripada tindakan pengusiran.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah Timur Laut antara pukul 2 hingga 3 petang, 9 Februari tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 217 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Muniandy pula didakwa bersubahat membantu Mohamad Azrim melepaskan semua 11 warga asing itu di lokasi, waktu, dan tarikh yang sama.

Muniandy yang diisytihar muflis pada 2007 didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 setiap seorang dengan seorang penjamin manakala 18 Mei ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mohamad Azrim diwakili oleh peguam M. M. Athimulan, T. Tamil Selvam, dan K. Mahendran manakala Muniandy diwakili peguam Hari Prassaad Rao.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazri Abdul Rahim.

Pada Mac tahun lalu, polis Pulau Pinang menahan lapan individu terdiri daripada pegawai polis, seorang kakitangan Jabatan Imigresen serta orang awam bagi membantu siasatan kes melepaskan suspek Macau Scam warga China di negeri itu.

Dalam kejadian itu, seramai 11 tahanan Macau Scam berkenaan dikatakan diserahkan kepada seorang ‘pegawai’ Jabatan Imigresen untuk dihantar ke depoh tahanan tetapi tidak dihantar seperti yang sepatutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya