PETALING JAYA: Seorang pegawai polis wanita daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok ketika operasi di sebuah pusat hiburan kini dipindahkan ke jabatan lain.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Beliau berkata, pegawai wanita itu akan berpindah ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Isnin lalu, Pengarah JSJN, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) penggunaan media sosial.
Jelasnya, tindakan pegawai berkenaan menerusi akaun TikTok miliknya bersifat peribadi dan hanya bertujuan untuk mempromosikan akaun TikToknya.
Malah ujar beliau, tiga arahan sudah dikeluarkan mengenai tatacara penggunaan media sosial iaitu pada Mei 2014, Ogos 2020 dan Februari 2021.
Baru-baru ini, tular satu video berdurasi satu minit 38 saat yang memaparkan pegawai wanita berpakaian jaket seragam operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Asisten Superintenden membuat ‘live’ di TikTok ketika serbuan dan pemeriksaan. – UTUSAN