KUANTAN: Pahang menjadi negeri pertama menawarkan Program Profesional Pentadbiran Awan Negeri buat kakitangan awamnya dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program selama empat bulan itu akan memberi impak kepada kehidupan dan bidang pekerjaan penjawat awam yang memperoleh sijil terbabit.
“Kita membuka peluang mereka yang telah bekerja untuk mengikuti pelajaran secara dalam talian dengan mengikuti tiga komponen pengajian iaitu Profesionalisme, Pembangunan Modal Insan dan Pengajian Islam.
“Program ini merupakan lapangan yang penting sebagai medan untuk penjawat awam dilatih dan dilengkapkan dengan ilmu dan kemahiran yang sesuai dengan bidang tugas masing-masing di samping memperkasakan kemahiran yang pelbagai seperti komunikasi, kaunseling, pengajian jawi dan lain-lain,” katanya
Beliau menyatakan demikian selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pertama Program Profesional Pentadbiran Awam Negeri Pahang, di Auditorium Tuanku Canselor UniPSAS di sini hari ini
Pada majlis itu, seramai 156 penjawat awam negeri lantikan baharu berjaya memperolehi sijil profesional mereka.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, program seumpama itu akan diteruskan lagi masa akan datang dengan membuka lebih banyak peluang kepada kakitangan awam negeri untuk menambah ilmu pengetahun dalam bidang berkaitan.
“Usaha ini akan berterusan dan kita akan meneliti sama ada mereka yang mengikuti kursus ini diberikan kenaikan pangkat, bonus atau penghargaan kerana ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengikuti program,” katanya.
Program terbabit jelasnya, terbuka kepada semua penjawat awam negeri namun perlu ada minima kelayakan untuk membolehkan mereka mengikutinya.
“Kami bersama UnipSAS juga dalam perancangan untuk mereka yang sedang bekerja yang mengikuti program diploma atau ijazah, pengalaman bekerja mereka akan dimasukkan dalam kredit,” katanya.
Wan Rosdy dalam pada itu berharap agar sekurang-kurangnya 30 peratus dari 156 kakitangan awam yang menerima sijil program profesional berkenaan akan terus melanjutkan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
“Pembelajaran inj adalah proses sepanjang hayat. Jika anda datang bekerja hanya semata untuk bekerja, itu salah. Anda datang bekerja adalah untuk belajar,” katanya. – UTUSAN










