Nurul Izzah fokus raih semula kepercayaan rakyat - Utusan Malaysia

Nurul Izzah fokus raih semula kepercayaan rakyat

: Nurul Izzah Anwar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nurul Izzah Anwar mengesahkan tidak bertanding dalam Pemilihan PKR 2022 kerana mahu memberi tumpuan memenangi hati pengundi atas pagar sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Naib Presiden PKR itu mahu memberi fokus memenangi hati pengundi menerusi kempen Ayuh Malaysia yang dilancarkan hujung Mac lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, anak Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, meskipun tidak menawarkan diri untuk bertanding kali ini, beliau tetap mendukung rakan-rakan yang bertanding.

“Seiring dengan komitmen penuh saya kepada usaha melindungi masa depan parti dan perjuangan, saya akan menumpukan sepenuh usaha dan perhatian kepada kempen memenangi hati pengundi atas pagar menerusi wadah Ayuh Malaysia.

“Wadah politik semata-mata tidak semestinya mampu meraih dukungan rakyat yang tercalar teruk selepas sekumpulan besar ahli parlimen PKR mengkhianati, lalu mendakap organisasi lain yang menawar habuan, pangkat serta laba,” katanya di sini semalam.

 

Bertanding

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebelum ini pernah bertanding dalam ketiga-tiga penggal pada pemilihan lalu, tetapi mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR pada Disember 2018.

Menjelang Pemilihan PKR 2022 kali ini, empat jawatan Naib Presiden PKR bakal menyaksikan pertembungan sengit antara lapan hingga 15 calon.

Antara individu yang mengesahkan penyertaan mereka ialah Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chah Lih Kang; Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, G. Manivannan.

Selain itu, calon lain yang mengesahkan akan merebut jawatan itu ialah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador; Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil dan bekas Timbalan Pengerusi PKR Perak, M.A. Tinagaran.

Nurul Izzah menambah, keutamaan ketika ini adalah kejayaan PKR meraih semula keyakinan rakyat.

“Rakyat yang telah banyak berkorban lalu menongkah badai sosioekonomi yang perit, lebih-lebih lagi selepas dilanda pandemik tetapi kecewa dengan kemelut politik negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN