MELAKA: Seorang nelayan terkejut selepas dua keretanya disimbah cat merah dalam kejadian di Lorong Haji Ariffin, Tanjung Kling, awal pagi tadi.
Mangsa, Md. Deris Salleh, 69, berkata, perkara itu disedari isterinya, Jamilah Baba, 62, sewaktu mereka mahu bersahur pukul 4.30 pagi.
Katanya, kereta jenis Proton Persona paling teruk disimbah manakala Proton Saga pula hanya terkena percikan cat tersebut.
Menurutnya, individu melakukan khianat itu turut meninggalkan sekeping nota yang diselitkan di pagar rumahnya.
Katanya, selain tercatat alamat individu lain pada nota berkenaan, lebih memeranjatkan adalah ugutan yang ditulis dalam Bahasa Mandarin iaitu: ‘Sila pulangkan sesuatu, kalau tidak saya akan bakar rumah anda.’
“Ugutan hendak membakar rumah benar-benar menakutkan saya sekeluarga kerana ini kejadian pertama berlaku dan saya sendiri tidak tahu apa yang dimaksudkan ‘pulangkan sesuatu’.
“Yang lebih pelik, alamat yang tertera pada nota tersebut bukan rumah saya. Jika perbuatan ini dilakukan pemberi pinjaman ah long, ini sangat mengejutkan sebab sepanjang hidup saya tidak pernah membuat pinjaman itu,” katanya.
Md. Deris menambah, ekoran ancaman itu, laporan polis dibuat di Balai Polis Tanjung Kling kira-kira pukul 5.56 pagi tadi.- UTUSAN