PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan akan terus memberi fokus dalam aktiviti pemuliharaan penyu sekali gus menjadi daya tarikan pelancongan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, kehadiran penyu yang mendarat di sepanjang pantai di Port Dickson merupakan potensi besar dalam aktiviti pelancongan yang perlu dimanfaatkan.
“Pihak berkaitan pelancongan di negeri ini boleh mencari satu inisiatif untuk mewujudkan pakej bersesuaian bagi menarik kehadiran pelancong ke daerah ini. Memang pelancongan melibatkan penyu ini dapat memberi pendapatan kepada negeri ini. Orang ramai boleh mengambil peluang melihat penyu tanpa perlu semata-mata ke Terengganu.
“Bagaimanapun, dalam apa juga keadaan, kita tidak mahu habitat marin ini diganggu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Outreach Konservasi Penyu Jabatan Perikanan Negeri Sembilan di Glory Beach Resort di sini, semalam.
Yang Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Datuk M. Ravi; Pengarah Urusan Glory Beach Resort, Paul Yeong dan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe.
Terdapat dua jenis penyu iaitu penyu karah dan agar yang mendarat dan bertelur di sepanjang pantai Port Dickson.
Berdasarkan rekod pendaratan penyu di negeri ini, terdapat 142 sarang penyu dengan jumlah telur dieram berjumlah 11,054 biji dan 5,498 biji telur telah menetas dari 2016 hingga tahun lalu.
Sementara itu, Kasim memberitahu, Glory Beach Resort merupakan premis swasta di negeri ini yang diberi kebenaran bersyarat oleh Jabatan Perikanan Negeri Sembilan untuk memiliki penyu dan menjalankan aktiviti pengeraman telur di tempat penetasan serta galeri pameran.
“Pihak hotel yang telah diberi lesen memiliki penyu diharap dapat bersama-sama memberi kesedaran kepada orang awam tentang pentingnya penyu di kekalkan sebagai khazanah laut berikutan ancaman kepupusan spesies marin berkenaan.
“Menerusi program seperti ini ia dapat memberi kesedaran tentang pentingnya menghargai dan menjaga ekosistem marin dengan mengurangkan penggunaan plastik dan tidak membuang sampah ke dalam laut yang boleh menjejaskan kehidupan ikan dan haiwan marin,” katanya. – UTUSAN










