Muhyiddin dapatkan penjelasan PM - Utusan Malaysia

Muhyiddin dapatkan penjelasan PM

MUHYIDDIN Yassin ketika tinjauan operasi KLIA selepas dua minggu pembukaan sempadan negara di KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: “Nanti kita dapatkan penjelasan nak berhenti atau lanjut,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya mengenai keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk tidak meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan persekutuan dengan pembangkang yang akan tamat pada 31 Julai ini.

Menurutnya, beliau akan meminta penjelasan lanjut daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung keputusan yang dibuat oleh MT UMNO.

“Pertama, soal sama ada lanjut atau tak lanjut, dalam pertemuan kami pimpinan PN dengan Perdana Menteri ada bincang soal ini. Pada waktu itu, beliau beritahu dan kami bersetuju. Belum ada apa-apa rundingan dibuat sama ada lanjut atau tak. Saya setuju pilihan itu tetapi hari ini, ada keputusan agak berbeza. Nanti kita nak dapatkan penjelasanlah nak berhenti atau lanjut lagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Media melaporkan, MT UMNO memutuskan MoU antara kerajaan persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai ini, tidak diteruskan lagi.

Susulan itu, Ismail Sabri dilaporkan berkata, beliau akur dengan keputusan tersebut dan sebagai Naib Presiden UMNO, beliau tertakluk kepada keputusan dibuat oleh MT UMNO.

Pada 13 September tahun lalu, kerajaan memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani oleh Ismail Sabri bersama ketua-ketua parti PH termasuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP yang ketika itu Lim Guan Eng, Presiden Parti Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

MoU itu antaranya merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Pada 10 Mac lalu, Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU berkenaan, Anthony Loke dilaporkan berkata, pembangkang bersedia meneruskan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik dengan kerajaan Persekutuan selepas 31 Julai.

Ditanya mengenai UMNO kekal memilih Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) akan datang, Muhyiddin berkata, perkara tersebut adalah soal parti dan beliau tidak akan membuat sebarang komen berkaitan isu tersebut.

“Itu soal parti UMNO, Barisan Nasional (BN). Nak calon siapa saja, kita dengar saja. Saya tak perlu komen apa-apa kerana Perdana Menteri sekarang pun beliau (Ismail Sabri) juga, tapi di masa hadapan tak pasti. Kalau nak calonkan itu, ia adalah di pihak BN, kalau di PN kita tidak ambil pendirian yang sama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN