BUKIT MERTAJAM: “Dia (ejen pencari pekerjaan) cakap kalau kerja di sana (Myanmar), boleh dapat sampai RM10,000 sebulan. Bila sampai sana, rupa-rupanya 10,000 tu dalam renminbi (mata wang China). Kalau tukar duit Malaysia, dapatlah dalam RM6,000 lebih.”
Itu kata seorang daripada rakyat Malaysia mahu dikenali sebagai Cheng, 23, yang terpedaya dengan janji manis ditabur ejen pencari kerja untuk bekerja di Myanmar.
Cheng yang baru beberapa hari pulang ke tanah air memberitahu, dia berada di Myanmar hampir dua bulan sebelum membuat keputusan pulang kerana kecewa akibat ditipu selain tidak tahan bekerja dalam suasana tekanan.
“Saya mohon jawatan HR (sumber manusia) dan memberanikan diri untuk ke sana seorang diri walaupun seorang wanita.
“Namun di Myanmar, saya seperti kebanyakan rakyat Malaysia lain yang datang melalui ejen pencari kerja ditipu iaitu terpaksa bekerja sebagai ‘scammer’ operator,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Anak kelahiran Pulau Pinang itu mengakui terdapat paksaan dan kes penderaan pekerja di sana, namun hanya melibatkan pekerja lelaki.
“Sebenarnya, kalau kita rajin, ikut cakap mereka, buat apa mereka suruh, mereka tidak pukul atau dera kita.
“Tetapi mana tahan kalau hari-hari bekerja dalam keadaan tekanan,” katanya yang memberitahu, pekerja wanita yang ingkar arahan hanya didenda atau diberikan amaran oleh penyelia yang rata-ratanya lelaki berasal dari China.
Dalam pada itu, Cheng berkata, dia dapat pulang ke tanah air selepas membayar lebih RM40,000 kepada ejen berkenaan sebagai ganti rugi.
“Ketika berada di sana, mereka masih benarkan kami berbual dengan keluarga melalui panggilan telefon. Itupun hanya dihadkan (panggilan) selama 20 minit setiap hari dan dipantau penyelia bertugas.
“Namun, saya tidak bernasib baik kerana langsung tidak berpeluang menghubungi keluarga semasa berada di Myanmar ketika itu,” katanya.
Ujar Cheng, ketika ini juga, lebih 100 rakyat Malaysia khususnya yang ditipu dan terpaksa menjadi scammer operator di negara berkenaan.
“Kalau nak ikutkan, ada juga dalam kalangan mereka yang tak mahu balik. Mungkin mereka rasa boleh ‘survive’ (bertahan) hidup di sana walaupun ditipu dan terpaksa bekerja sebagai scammer operator.
“Namun saya tahu kebanyakan mereka mahu balik Malaysia kerana tidak tahan termasuk kawan-kawan saya yang masih berada di sana ketika ini,” katanya yang kini mahu berehat terlebih dahulu sebelum keluar mencari kerja baharu. – UTUSAN