KUALA PILAH: Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) menafikan dakwaan menerusi video tular dalam media sosial bahawa anggota penguat kuasanya dengan sengaja membuang dan menyelerakkan barang jualan seorang peniaga di atas jalan raya.
Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, video rakaman yang tular itu berlaku di tepi jalan di Kampung Renggoh, Jalan Johol, Air Mawang namun tidak menggambarkan keadaan sebenar yang berlaku.
“Hasil siasatan dalaman yang dilakukan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 18 April (Isnin) yang mana pegawai penguat kuasa MDKP membuat rondaan serta pemantauan penjaja di Bazar Ramadan Air Mawang dan persekitaran kawasan Johol.
“Peniaga tersebut melakukan provokasi terhadap penguat kuasa majlis daerah dan dengan sendirinya menyelerakkan meja jualan hingga mengakibatkan barang jualannya terjatuh di atas jalan raya.
“MDKP menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa penguat kuasa majlis telah membuang barang jualan peniaga tersebut dan tidak melakukan tindakan tersebut seperti yang dituduh dalam media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, MDKP melakukan rondaan kali pertama pada 14 April (Khamis) dan didapati peniaga yang sama tidak mempunyai lesen penjaja.
“Pegawai penguat kuasa telah menasihati peniaga tersebut untuk mematuhi prosedur berniaga di kawasan majlis dengan memohon lesen penjaja di pejabat MDKP.
“Untuk makluman, tujuan rondaan ini dilaksanakan adalah untuk pemeriksaan semula oleh pegawai penguat kuasa MDKP terhadap peniaga tersebut. Berikutan itu, setelah pemeriksaan semula dilaksanakan, peniaga didapati masih ingkar dan tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya.
Jelas Mohd. Faizal, MDKP sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur dan toleransi yang tinggi apatah lagi dalam menjaga kesucian di bulan Ramadan dalam menguruskan hal ehwal penjaja kecil di seluruh Kuala Pilah terutamanya peniaga-peniaga yang berniaga di tepi jalan.
“Pihak kami memandang serius berkenaan isu ini dan akan mengambil tindakan tegas dengan melaporkan kepada pihak polis tentang kenyataan palsu dan fitnah yang telah disebarkan di dalam media sosial bagi menjaga imej dan kredibiliti MDKP,” katanya. – UTUSAN