SEREMBAN: Mayat seorang lelaki warga Rohingya ditemui tanpa pakaian dengan kesan tikaman di perut dipercayai dibunuh oleh rakan serumahnya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Bukit Tembok, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10 pagi daripada orang awam.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, polis menemui satu mayat lelaki warga Rohingya berusia 19 tahun di bahagian lorong dapur menuju ke bilik dengan kesan tikaman di perut.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa ditikam dengan menggunakan senjata tajam namun pemeriksaan lanjut tidak menemui senjata yang digunakan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Jalan Bukit Tembok, di sini hari ini.
Menurut Nanda, difahamkan rumah tersebut disewa oleh suspek berusia 40-an yang juga lelaki warga Rohingya sejak setahun lalu dan dipercayai mangsa menumpang di rumah berkenaan sejak seminggu lalu.
“Malam tadi jiran ada maklumkan terdengar bunyi pergaduhan dari rumah tersebut, selain majikan suspek ada datang mencari suspek di rumah selepas dia tidak datang ke tempat kerja pagi tadi,” katannya
Jelas Nanda, berdasarkan maklumat terbaharu suspek yang merupakan seorang buruh telah berjaya ditahan di Pulau Pinang oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang kira-kita pukul 2 petang tadi.
“Suspek kini dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk proses dokumentasi dan akan segera dibawa balik ke Seremban,” katanya.
Tambah Nanda, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
Sementara itu, seorang saksi berusia 29 tahun yang menjumpai mayat itu berkata, suspek ada mengaku kepadanya bahawa dia telah bergaduh dengan rakan serumahnya itu dan melarikan diri kerana khuatir mangsa akan meninggal dunia.
Saksi berkata, dia telah menemui mayat tersebut pada pukul 9.40 pagi tadi setelah diarahkan oleh bapanya untuk memeriksa rumah yang didiami suspek bersama mangsa.
“Dia (suspek) berjanji akan bekerja dengan bapa saya hari ini. Namun, sebaik bapa menghubungi suspek, dia mengaku bergaduh dengan rakan serumah dan sudah melarikan diri serta tidak tahu keadaan rakannya sama ada masih hidup atau sudah mati.
“Bapa meminta supaya memeriksa rumah suspek dan keadaan rakannya itu. Namun sebaik membuka pintu rumah, saya menemui satu mayat dan terus menghubungi polis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini. – UTUSAN