SEREMBAN: Tempoh reman tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita tanpa identiti dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus di sini pada 20 Mac lalu disambung tujuh hari lagi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, perintah reman ke atas dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 44 tahun bersama seorang wanita berusia 18 tahun yang berakhir semalam dilanjutkan sehingga 11 April ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Permohonan tahanan reman ketiga-tiga suspek diluluskan selama tujuh hari bermula 5 April (hari ini) sehingga 11 April 2022. Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam media melaporkan, Nanda berkata, kesemua suspek yang direman sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Namun mereka ditangkap semula bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah bagi kes lain.
Sebelum ini, ketiga-tiga suspek yang mempunyai talian persaudaraan direman enam hari di bawah seksyen sama iaitu bunuh bermula 30 Mac hingga 4 April lalu.
Pada 20 Mac lalu, media melaporkan seorang lelaki yang sedang berjoging dikejutkan dengan penemuan mayat dipercayai wanita dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus di sini.
Anggota renjer yang bertugas di kaunter Pejabat Jabatan Perhutanan di Ulu Bendul Kuala Pilah memberitahu telah didatangi oleh seorang lelaki berusia 50-an pada pukul 10.50 pagi.
Lelaki itu mengatakan semasa sedang berjoging dan ingin mengambil gambar telah menjumpai mayat tersebut dalam keadaan tertiarap.
Kejadian berlaku di tepi Jalan Lama Bukit Putus, di mana mayat itu dijumpai di dalam gaung di bawah jambatan dan tempat kejadian jauh dari kawasan perumahan dan sunyi. – UTUSAN










