GEORGETOWN: Mayat seorang lelaki warga Indonesia ditemukan dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah inap desa di apartment Eastern Court, Jelutong, di sini, petang semalam.
Mangsa berusia 33 tahun itu dijumpai orang awam di pekarangan tempat letak kereta apartment tersebut kira-kira pukul 5.30 petang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati mangsa mengalami pendarahan pada bahagian kepala selepas terjatuh dari salah sebuah bilik di kediaman yang disewanya bersama seorang rakan berketurunan Cina.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian berlaku termasuk mengesan rakan serumahnya yang berusia 54 tahun.
“Si mati ditemukan dalam keadaan berdarah pada kepala dan rantai diikat pada kaki kiri. Pemeriksaan lanjut di dalam bilik dipercayai tempat si mati terjun juga didapati tiada sebarang kesan pergelutan.
“Menurut seorang saksi yang juga penghantar makanan kepada si mati, hari ini (petang semalam) dia sempat berjumpa dengan salah seorang rakan lelaki itu pukul 5 petang,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian malam tadi.
Soffian memberitahu, siasatan awal polis mendapati si mati dan rakannya itu datang dari Melaka dan mula menyewa kediaman tersebut sejak 13 April lalu.
“Dia (si mati) juga masuk ke negeri ini menggunakan laluan laut dari Dumai pada 23 Mac lalu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti tujuan sebenar mereka ke sini termasuk motif kematiannya sama ada terjun mahupun sebaliknya. Usaha mengesan rakannya itu sedang giat dijalankan,” jelasnya.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat dan setakat ini polis mengklasifikasikan kematian mangsa sebagai mati mengejut (SDR). – UTUSAN










