PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan syarikat penerbangan tempatan melakukan siasatan menyeluruh berhubung isu kenaikan harga tambang kapal terbang pada musim perayaan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, siasatan itu penting bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani masalah dan keluhan rakyat.
Beliau berkata, penetapan tambang penerbangan domestik oleh syarikat penerbangan dalam negara adalah berdasarkan kepada rasionalisasi sektor perkhidmatan udara domestik pada tahun 2006.
“Dalam hal ini, Jemaah Menteri pada ketika itu telah memutuskan bahawa syarikat penerbangan negara bebas menentukan liputan rangkaian, kekerapan penerbangan dan kadar tambang yang ingin ditawarkan berdasarkan permintaan pasaran.
“Ini selaras dengan amalan sebahagian besar negara-negara lain yang tidak mengawal harga tambang penerbangan bagi laluan antarabangsa atau domestik,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Selain itu, beliau memberitahu, kenaikan harga penerbangan itu tidak disengajakan sebaliknya ia berlaku menerusi mekanisme penetapan harga menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) dalam proses menentukan harga tambang.
Musim puncak
Kata Ka Siong, walaupun harga siling dapat menurunkan tambang penerbangan pada musim puncak, namun ia akan menyebabkan kenaikan harga tambang penerbangan ketika musim biasa.
Pada masa sama, Ka Siong berkata, MAVCOM, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (Malaysia Airport) bersedia mempertimbangkan permohonan syarikat penerbangan untuk menambah frekuensi penerbangan pada musim perayaan ini dan akan datang.
Menurutnya, CAAM telah meluluskan pelanjutan waktu pengoperasian perkhidmatan kawalan trafik udara di lapangan terbang yang diperlukan.
“Ini sekali gus membantu syarikat penerbangan dalam perancangan penambahan kapasiti terutamanya menjelang musim perayaan.
“Kami komited dan akan berusaha sedaya upaya untuk menurunkan tambang penerbangan bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat,” katanya.
Katanya, MAVCOM mendapati harga tambang penerbangan pada 30 April 2022 (tarikh perjalanan puncak bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri) telah meningkat berbanding purata harga tambang penerbangan pada tahun 2019.
Jelasnya, peningkatan disebabkan oleh peningkatan kos operasi terutama kenaikan harga bahan api jet, serta sumber terhad bagi syarikat penerbangan meningkatkan kapasiti sepenuhnya.
“Malah, syarikat penerbangan juga menghadapi masalah untuk menambah kapasiti penerbangan dengan segera akibat pandemik Covid-19.
“Selain itu, pesawat-pesawat penerbangan juga perlu melalui proses penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) sebelum pesawat diluluskan bagi tujuan perkhidmatan dengan selamat,” katanya.- UTUSAN