SHAH ALAM: Pembiakan kucing di kawasan perumahan perlu dikawal untuk memastikan haiwan peliharaan itu tidak mengganggu orang awam selain menjejaskan kebersihan dan penularan penyakit.
Justeru, pemilik kucing disaran supaya memandulkan kucing peliharaan supaya tidak berlaku lambakan di tempat-tempat awam.
Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid berkata, ini kerana terdapat banyak kes pembuangan kucing di tempat-tempat awam kerana pembiakan yang tidak dikawal.
“Saya bersetuju kucing peliharaan dimandulkan kerana apabila ia membiak kesudahannya populasinya bukan sahaja bertambah malah menyusahkan tuan rumah dan jiran-jiran.
“Apabila kucing banyak ia perlu diberi makan dan apabila pemilik tidak mampu, jalan penyelesaian membuangnya di pasar dan kawasan tumpuan ramai,” katanya selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Yatim Dan Asnaf Rumah Amal Firdaus di Plaza Shah Alam malam tadi.
Turut hadir, Presiden Suara Haiwan Malaysia, Nashriq Ismail Sabri.
Beliau berkata demikian bagi mengulas insiden kucing menjadi bahan penganiayaan, penderaan dan pengkhianatan lebih-lebih lagi kucing jalanan.
Sementara itu, Nashriq yang juga anak ketiga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, proses memandulkan kucing adalah wajar bagi memastikan populasinya dapat dikawal.
“Saya dan Kelab Kucing Malaysia akan terus memberi nasihat kepada orang ramai untuk memandulkan kucing, dan kita membantu dari aspek kos perubatan selepas proses pemandulan,”katanya.
Terdahulu, dua NGO tersebut, Syarikat Adabi dan pelanggan Plaza Shah Alam menyampaikan duit raya dan barang makanan kepada Rumah Amal Firdaus.- UTUSAN