ISKANDAR PUTERI: Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) berjaya meraih sebanyak RM333.41 juta hasil kutipan zakat harta dan zakat fitrah sepanjang tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khaled berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM319.12 juta diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Beliau berkata, penyertaan umat Islam dalam menunaikan kewajipan berzakat semakin meningkat saban tahun yang turut disokong Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa tampil menunaikan tanggungjawab berzakat.
“Sekalipun kutipan zakat semakin bertambah, jumlah penerima bantuan turut meningkat disebabkan kitaran tuntutan hidup yang dipengaruhi tidak tentuan sosioekonomi semasa, penularan penyakit seperti Covid-19 dan peningkatan kos sara hidup.
“MAINJ juga turut tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan dengan memperuntukkan bantuan sara hidup sejumlah RM6.9 juta, bantuan perubatan RM17.7 juta dan bantuan rawatan dialisis sebanyak RM60.4 juta. Bagi sambutan Aidilfitri tahun ini, MAINJ tidak melupakan golongan daif agar sama-sama berpeluang meraikan Syawal yang mulia. Sejumlah RM14.2 juta diserahkan kepada 85,730 penerima yang terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembayaran Zakat dan Kurniaan Bantuan Zakat MAINJ yang disempurnakan Tunku Ismail di Hotel Fraser Place, di sini.
Pada majlis itu, menyaksikan penyerahan zakat perniagaan daripada Lembaga Tabung Haji berjumlah RM9,395,409, Infra Desa (Johor) Sdn. Bhd. (RM1,597,563) dan YPJ Holdings Sdn. Bhd. berjumlah RM1,023,926.
Mohd. Fared yang juga Timbalan Pengerusi MAINJ berkata, pada majlis sama turut menyaksikan penyerahan sumbangan berjumlah RM39.13 juta.
“Demi kemaslahatan dan keperluan asas umat Islam, beberapa institusi turut menerima peruntukan zakat MAINJ sejumlah RM13.944 juta antaranya Tabung Pembangunan Masjid dan Amal Jariah Negeri Johor, Tabung Pengurusan Tanah Perkuburan Negeri Johor serta sekolah-sekolah tahfiz di seluruh negeri ini.
“MAINJ bersetuju memberi sumbangan kepada beberapa yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang masing-masing akan menerima RM500,000 antaranya Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dan Southern Volunteers. MAINJ turut menyerahkan sumbangan pendidikan berjumlah RM3.38 juta serta tidak ketinggalan memberikan sumbangan kepada rumah-rumah kebajikan di negeri ini,” jelasnya. – UTUSAN