Mahkamah Persekutuan tolak rayuan ADUN PN - Utusan Malaysia

Mahkamah Persekutuan tolak rayuan ADUN PN

MOHAMAD ALI MOHAMAD (kiri) dan MOHD. ALEEF YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Melaka yang menolak bantahannya ke atas petisyen dikemukakan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed yang bersidang bersama-sama Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal memutuskan demikian melalui sidang mahkamah dijalankan melalui persidangan video Zoom.

Hakim Azahar dalam keputusannya memaklumkan keputusan itu setelah meneliti hujahan semua pihak dan juga mempertimbangkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya dengan teliti.

“Pada pandangan kami, perintah hakim Mahkamah Pilihan Raya dalam menolak bantahan awal tidak melupuskan petisyen pilihan raya. Pada pandangan kami, perintah Mahkamah Tinggi bukanlah satu penentuan dalam peruntukan Seksyen 36A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Justeru, perintah Mahkamah Pilihan Raya tidak boleh dirayu kepada Mahkamah Persekutuan. Perayu (Dr. Mohd. Aleef) tidak prejudis kerana beliau masih boleh membangkitkan isu yang sama pada perbicaraan penuh di hadapan hakim pilihan raya dan kemudian di hadapan Mahkamah Persekutuan. Oleh itu, mahkamah menolak rayuan ini,” kata Hakim Azahar sambil menambah bahawa kos akan ditentukan dalam kos penyelesaian kes itu.

Pada 11 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Melaka menolak bantahan Dr. Mohd. Aleef daripada Perikatan Nasional (PN) terhadap petisyen dikemukakan Mohamad Ali yang merupakan calon di kerusi tersebut.

Prosiding hari ini, Dr. Mohd. Aleef diwakili peguam Rosli Dahalan manakala Mohamad Ali diwakili Datuk Mohd. Hafarizam Harun dan Datin Rosfinah Rahmat.

Dalam pada itu, Rosfinah memaklumkan, sebanyak 13 daripada 30 individu telah dipanggil sebagai dalam perbicaraan petisyen itu telah berlangsung bermula 24 Mac lalu.

Sebelum ini, Mohamad Ali, 57, memfailkan petisyen itu pada 14 Disember 2021 di Mahkamah Tinggi Melaka atas dakwaan terdapat unsur rasuah pada PRN di kawasan tersebut yang berlangsung pada 20 November 2021.

Beliau menamakan Dr. Mohd Aleef, 35, yang menang dengan majoriti 530 undi dalam pertembungan empat penjuru, Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi DUN Sungai Udang dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Menurut petisyen Mohamad Ali, dia mendakwa Dr. Mohd Aleef telah melakukan amalan rasuah pada pilihan raya itu seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 32(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya