Macau Scam menyamar pegawai KKM aktif di Melaka - Utusan Malaysia

Macau Scam menyamar pegawai KKM aktif di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Wang simpanan seorang wanita warga emas berjumlah RM247,000 lesap selepas ditipu sindiket Macau Scam  yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan (KKM), minggu lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden E. Sundra Rajan berkata, mangsa yang berusia 60 tahun telah membuat laporan polis berhubung kes itu pada 8 April lalu. 

Menurut beliau, pada hari sama, seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berusia 21 tahun turut melaporkan kejadian sama membabitkan kerugian RM12,000. 

“Polis menerima beberapa laporan berhubung kegiatan aktif Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai KKM sejak minggu lalu. 

“Sehingga semalam, jumlah kerugian telah mencecah RM259,642 melibatkan seorang warga emas dan pelajar IPTA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas membabitkan warga emas, Sundra Rajan berkata, suspek menghubungi mangsa memaklumkan kononnya butiran warga emas itu sudah digunakan individu lain untuk pendaftaran sebagai penerima vaksin.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa untuk memberikan kerjasama dengan pihak kementerian kononnya untuk menyiasat kes tersebut. 

“Mangsa seterusnya dihubungkan dengan panggilan telefon kepada ahli sindiket yang  menyamar sebagai polis dan mendakwa mangsa turut terlibat dalam pengubahan wang haram,” jelasnya. 

Tambahnya, sindiket kemudian mengarahkan mangsa memberikan segala maklumat akaun, kononnya bagi tujuan semakan audit dan mangsa yang ketakutan  memberikan butiran seperti nombor akaun bank, nombor pin dan kata laluan perbankan dalam talian. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN