LS Repairing Cream, Luffiya Treatment Foundation beracun

LS Repairing Cream, Luffiya Treatment Foundation beracun

DUA produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual. - IHSAN NPRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan produk kosmetik LS Repairing Cream dan Luffiya Treatment Foundation mengandungi racun berjadual iaitu merkuri.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Norhaliza A. Halim berkata, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat dibatalkan sekali gus tidak dibenarkan dijual di negara ini.

Katanya, penjual dan pengedar produk kosmetik itu perlu menghentikan penjualan dan pengedaran serta-merta yang mana penjualan serta pengedaran produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. 

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Norhaliza, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan yang mana ia boleh diserap masuk ke dalam badan serta menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak masih kecil atau yang belum dilahirkan dan menyebabkan ruam, iritasi serta perubahan lain pada kulit.

“Justeru, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik berkenaan dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

Tambah beliau, orang awam digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN