Lima rumah terbakar angkara mercun bola  - Utusan Malaysia

Lima rumah terbakar angkara mercun bola 

NORAIZA Salleh sedih menceritakan detik-detik cemas kebakaran membabitkan sembilan kediaman di Berek 12, Kota Bharu hari ini. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Persiapan  menyambut Hari Raya Aidilfitri lima keluarga musnah dalam kebakaran dipercayai berpunca daripada tindakan membaling mercun bola dalam kejadian di Berek 12 di sini hari ini. 

Dalam kejadian pukul 9.35 pagi, lima kediaman musnah 100 peratus manakala empat kediaman lagi musnah kira-kira 20 peratus. 

Mangsa, Noraiza Salleh, 42 berkata, ketika kejadian dia  menyapu di ruang tamu sebelum terdengar bunyi letupan mercun di atas atap rumah ibunya, Zaharah Mat, 70, yang berjiran dengannya.

“Pada mulanya saya tidak mengendahkan bunyi tersebut namun, kali kedua bunyi letupan itu lebih kuat, saya pun tinjau keluar dan terkejut apabila api sudah menjulang dari dalam bilik kediaman ibu di tingkat atas. 

“Saya meluru ke kediaman ibu dan cuba tendang pintu bilik ibu kerana risau keadaannya. Mungkin ibu tidur selepas menyiapkan hidangan kuih untuk jualan. Kemudian saya pimpin ibu keluar dari rumah,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian. 

Disebabkan api marak  cepat kata Noraiza, dia tidak sempat menyelamatkan harta benda lain termasuk dokumen penting dan barang kemas manakala semua persiapan untuk Aidilfitri termasuk wang tunai RM4,000 hangus.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Che Nab Che Jaafar, 65, berkata, ketika kejadian dia bersama tiga anaknya termasuk seorang anak orang kelainan upaya (OKU) berada dalam rumah. 

“Sebelum kejadian, saya dengar bunyi letupan kuat seperti mercun bola. Tidak sampai lima minit kemudian, saya nampak asap hitam dan terdengar anak saudara yang juga tinggal berdekatan menjerit meminta tolong.

“Lebih menyedihkan persediaan jualan nasi kerabu untuk hari raya kedua musnah, termasuk 100 ekor ayam sejuk beku yang diletak dalam peti ais. Selain itu wang tunai RM500 turut terbakar,” katanya.

Kata Che Nab, dia kini buntu memikirkan nasib dirinya dan keluarga untuk menyambut raya selain merancang untuk menumpang di rumah anak saudara.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya