JOHOR BAHRU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Liew Chin Tong dilantik sebagai Ketua Pembangkang baharu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Pakatan Harapan (PH) Johor dalam satu kenyataan berkata, keputusan pelantikan Pengerusi DAP Johor itu dicapai hasil mesyuarat Majlis Pimpinan PH Johor pada Jumaat lalu di Muar.
“PH Johor telah bersetuju melantik Chin Tong sebagai Ketua Pembangkang DUN Johor yang baharu. Beliau telah memenangi kerusi DUN Perling pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
“Sepucuk surat pemakluman daripada PH Johor akan dihantar kepada Pejabat Jurutulis Negeri hari ini,” kata kenyataan tersebut, di sini, hari ini.
Kenyataan itu dikongsikan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.
Tambah kenyataan sama, Chin Tong akan menggembeling komitmen wakil-wakil rakyat blok pembangkang untuk memainkan peranan secara konstruktif dalam dewan demi kebaikan negeri Johor.
Jelas, dalam masa sama, pihaknya berharap agar reformasi DUN Johor seperti mana yang telah dirintis oleh kerajaan PH dapat diteruskan antaranya adalah mengiktiraf kedudukan Ketua Pembangkang.
“PH Johor turut berharap kerajaan negeri yang baharu mewujudkan lebih banyak Jawatankuasa Pilihan dan melantik wakil rakyat pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam Negeri.
“Selain itu, pemberian peruntukan sama rata kepada semua ADUN termasuklah pembangkang turut dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Katanya, PH Johor juga mengingatkan kerajaan pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi berkaitan pengumuman peruntukan kepada wakil-wakil rakyat oleh bekas Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad menerusi Belanjawan Johor 2022. – UTUSAN