LONDON: Seorang menteri Britain mencatat sejarah baharu apabila menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest hanya dalam tempoh lima hari, hasil penggunaan gas xenon yang membantu mempercepatkan proses penyesuaian badan terhadap ketinggian ekstrem.
Al Carns, Menteri Hal Ehwal Veteran United Kingdom bersama sekumpulan bekas anggota Pasukan Khas Britain mengibarkan bendera Union Jack di puncak Everest pada Rabu lalu.
Pendakian ke puncak Everest lazimnya memerlukan persiapan selama dua bulan bagi membolehkan tubuh menyesuaikan diri dengan udara nipis di kawasan tinggi namun, penggunaan gas xenon yang disedut di sebuah klinik khas di Jerman membolehkan Carns dan pasukannya memendekkan tempoh tersebut secara drastik.
Menurut pasukannya, gas xenon dipercayai meningkatkan penghasilan protein dalam badan yang membantu melawan hipoksia, keadaan kekurangan oksigen yang sering membawa maut kepada pendaki Everest selain itu,turut menjalani latihan dalam khemah simulasi beroksigen rendah bagi melatih badan sebelum berlepas ke Nepal.
“Ini seperti misi pasukan khas. Kami ada pasukan terbaik, latihan terbaik, peralatan terbaik, dan menggunakan sains terkini. Kami datang, capai sasaran, dan pulang tanpa tinggalkan kesan atau sisa,” katanya kepada akhbar The Sun sebelum pendakian.
Misi tersebut dilancarkan bagi mengumpul dana sebanyak sejuta pound (RM6 juta) untuk kebajikan veteran tentera Britain namun, kejayaan luar biasa itu mencetuskan kontroversi di Nepal di manab Ketua Jabatan Pelancongan Nepal, Narayan Prasad Regmi memaklumkan pihak berkuasa kini sedang menyiasat agensi pelancongan dan pendaki yang menggunakan gas xenon dalam ekspedisi itu.
“Kami akan memanggil mereka, termasuk menteri Britain itu, dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” tegasnya dalam laporan The Telegraph.
Menurut beliau, penggunaan gas xenon tidak pernah diumumkan sebelum ini oleh mana-mana pendaki di Nepal, dan undang-undang baru perlu diperkenalkan bagi memperjelaskan status kesahihannya.
Namun begitu, syarikat Austria yang menganjurkan ekspedisi tersebut, Furtenbach Adventures mempertahankan penggunaan gas itu.
Beliau menegaskan penggunaan gas xenon menjadikan pendakian lebih selamat dan cepat, berbanding pendaki yang hanya bergantung kepada oksigen dari Kem Asas tanpa penyesuaian yang sewajarnya, satu kaedah yang jauh lebih berisiko.
Furtenbach turut berhujah ekspedisi pendek sebegini lebih mesra alam kerana menggunakan sumber yang minimum dan mengurangkan sisa ditinggalkan di gunung. – AGENSI










