Mahu generasi muda kenal pantun dan puisi

Mahu generasi muda kenal pantun dan puisi

ANTARA kumpulan puisi oleh Ahmad Sarju.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERJUANGAN yang tulus, ikhlas dan tuntas, ada di antara kita termasuk generasi muda yang tidak mengharapkan sebarang balasan kecuali kepuasan daripada bakti yang dicurahkan. Lazimnya, pengorbanan itu berada di sebalik kelir kehidupan dan jarang dapat dilihat oleh pandangan biasa.

Walaupun telah lama meninggalkan bilik darjah untuk berkhidmat sebagai seorang guru, demi cintanya pada profesion perguruan, ilmu, kemahiran, pengalaman serta nasihat yang didaktik terus menerus dicurahkan tanpa merasa rugi dan membosankan.

Tanpa mengharapkan anugerah tertinggi dalam bidang pendidikan mahupun kesusasteraan, penyair dan pendidik yang amat dedikasi, Ahmad Sarju terus menyalurkan pengajarannya melalui karya puisi, pantun dan syair di samping penulisan skrip drama.

Lebih 60 tahun berkarya dan memenangi pelbagai hadiah puisi termasuklah Hadiah Sastera Perdana Malaysia, tahun 2001/2002 dengan puisi berjudul, Keris situ masih di Tanganmu manakala pencapaian terbaik di awalnya, apabila empat buah puisinya sekali gus memenangi Hadiah Sastera Kebangsaan pada tahun 1971/1972.

Sebagai seorang guru, beliau mendidik masyarakat tentang rasa cinta dan kasih kepada tanah air dan pernah menerima Anugerah Tokoh Penulis Negeri Selangor, tahun 2013 dan Anugerah Penyair GAPENA, tahun 2021.

Tidak puas dengan puisi, Ahmad Sarju, menghasilkan pantun dan syair yang kesemuanya menjurus kepada pembentukan adab, nilai nilai murni, bersifat patriotik, seolah-olah beliau masih tetap menjadi guru walaupun telah lama bersara setelah 39 berkhidmat di beberapa sekolah.

Beliau yang ditemui di Shah Alam, Selangor baru- baru ini, bertekad akan terus menulis puisi, syair dan pantun sepanjang hayat yang menjuruskan kepada tema pendidikan, masyarakat dan negara. Sajak pertamanya, disiarkan dalam akhbar Berita Harian, pada 1962, bertajuk, Perederan.

Pada masa ini masih lagi mengusahakan kumpulan puisi, kumpulan syair dan pantun terbaharu selain telah pun menyiapkan kumpulan lirik lagu, Keris itu masih di tanganmu.

“Disebabkan pada masa ini, ramai yang kurang berminat untuk membaca karya kesusasteraan di media cetak, jadi saya beralih kepada Facebook untuk saya kirimkan pantun, syair dan puisi setiap hari.

“Walaupun masih kurang generasi muda yang mengikuti pantun dan syair, di Facebook saya tetapi saya akan terus memperkenalkannya kepada mereka apabila dijemput memberi ceramah atau juri di institusi pengajian tinggi dan sekolah,” katanya.

Beliau telah menghasilkan 10 kumpulan puisi dan lebih 1,000 antologi puisi manakala puisi-puisinya juga disiarkan di hampir kesemua media cetak selain menjadi juri di pertandingan menulis dan mendeklimasi puisi di peringkat negeri dan kebangsaan.

Puisi-puisi Ahmad Sarju, sememangnya ada dalam hati dan fikrah dalam kalangan kita dengan kekuatan yang tersendiri dan tinggi amanat serta falsafahnya. Penggunaan istilah yang mudah untuk difahami juga menjadikan puisi – puisi Ahmad Sarju dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Dengan teknologi kontemporari, puisi, pantun dan syair beliau dapat dibaca di seluruh dunia serta menjadi perhatian para penyelidik yang berminat dengan karya yang mempunyai jati diri kental terhadap nusa dan pemerintah.

Kemantapan mesej yang sarat dalam puisi-puisi Ahmad Sarju turut menjadi inspirasi kepada penulis kreatif, khususnya kepada generasi pelapis yang baru menceburkan diri dalam dunia penulisan puisi.

Selain itu, kandungan puisinya dengan gagasan yang holistik, mendasari alam semulajadi telah diaplikasikan sebagai metafora dengan lapis makna yang berganda serta tahap konseptual yang mencabar kognitif pembaca.

Pada usia melebihi 80-an, kegigihannya dalam kesusasteraan Melayu belum pernah berhenti, sepatutnya diberi penghargaan yang tinggi di peringkat kebangsaan sebagai mengenang jasa, budi, bakti dan perjuangan gigih Ahmad Sarju. Beliau masih lagi aktif dengan menghadiri majlis baca puisi, ceramah dan aktiviti sastera seperti Hari Sastera serta Hari Puisi Nasional.

Penyair yang bersikap rendah diri tetapi peramah ini, merupakan seniman sastera yang perlu diangkat sebagai ikon terbaik dengan karyanya yang merentasi beberapa zaman, kalau tidak sebagai Sasterawan Negara pun, dipilih untuk, Penerima Anugerah S.E.A Write. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×