Letusan suar dari matahari tidak beri impak kepada bumi - Utusan Malaysia

Letusan suar dari matahari tidak beri impak kepada bumi

TANGKAP layar memaparkan keadan suar suria yang berlaku 17 April lalu di matahari. - Ihsan Mysa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kejadian letusan suar suria yang berlaku kelmarin sehingga tular dan menjadi perbincangan warganet khasnya yang  meminati bidang astronomi tidak memberi apa-apa kesan kepada bumi.

Perkara tersebut disahkan Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) menerusi hantaran kenyataan dalam laman sosial rasminya sebagai merujuk kejadian alamiah berkenaan.

“Suar suria kelas X1.1 didapati memang telah pun menghamburkan jisim korona atau CME ke angkasa namun letusan tersebut tiada memberikan apa-apa impak kepada bumi,” jelas agensi itu.

Letusan tersebut hasil daripada sekumpulan tompok yang agak besar dan sangat aktif dirujuk dengan kod AR2994 dikesan di permukaan bahagian timur laut matahari pada pagi Ahad lalu.

Impak itu  dirakamkan oleh Observatori Dinamik Solar, sebuah teleskop orbit angkasa milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat (AS).

Ia meletus pada pukul 3.34 pagi (11.34 pagi waktu Malaysia) manakala data rujukan sokongan telah dicerap agensi Pentadbiran Atmosfera dan Kelautan Nasional (NOAA) AS pada masa sama.

Mengulas lanjut, Mysa  menjalankan pemantauan suar ke atas perubahan aktiviti matahari melalui peralatan cerap darat antaranya di Observatori Negara Langkawi (ONL), Kedah.

“Ia menggunakan sistem teleskop optik yang juga berjaya merakamkan kumpulan lima tompok dengan kod AR2989, AR2990, AR2991, AR2992, AR2993 di samping AR2994,” kata kenyataan itu lagi.

Rakaman itu menggunakan penapis jenis cahaya nampak ‘calcium k-line’ selain mengukur perubahan medan magnet menerusi instrumen khas magnetometer di bawah penyeliaan Mysa.

 Pengesanan suar turut melibatkan Kompleks Teknologi Angkasa (KTA) di Banting, Selangor melalui peralatan Compound Astronomical Low Frequency Low Cost Instrument Spectroscopy.

 Hasil cerapan di situ juga menunjukkan ada letusan radio solar jenis II dan III yang dikesan kelmarin dari 3.28 pagi hingga 3.50 pagi UTC (11.28 pagi hingga 11.50 pagi waktu Malaysia). – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya