MIRI: Seorang lelaki warga emas yang sesat di dalam hutan selama 16 jam, iaitu sejak jam 6 petang Ahad lalu berjaya ditemukan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Batu Niah hari ini.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah, Rary Binjie, warga emas berusia 72 tahun itu ditemui di dalam kawasan hutan berhampiran Kampung Bersepadu Jeng Gallas, Bekenu kira-kira 35 kilometer dari Batu Niah, Miri.
Katanya, mangsa yang dikenali Abdul Rani Lakim itu berjaya ditemukan kira-kira 200 meter dari kawasan perumahan berkenaan, iaitu tempat di mana dia kali terakhir dilihat masuk ke dalam hutan berkenaan oleh seorang penduduk kampung.
Rary berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.32 pagi tadi dan gerakan mencari mangsa dimulai jam 8.10 pagi di kawasan hutan sehingga mangsa berjaya ditemui dua jam kemudian.
Katanya, setiba di lokasi pencarian pasukan operasi terus membuat pencarian bersama penduduk kampung dan pasukan Rela.
“Pencarian dibuat dalam radius satu kilometer sehingglah pada jam 10.20 pagi kami telah berjaya menemui mangsa sekitar 200 meter dari kawasan perumahan tempat di mana mangsa kali terakhir dilihat masuk ke dalam hutan,” kata Rary.
Mangsa dijumpai dalam keadaan baik dan seterusnya diserahkan kepada adik mangsa.
Menurut Rary, kehilangan mangsa disedari ahli keluarganya apabila mangsa tidak balik ke rumah lewat petang semalan.
Berikutan itu adik mangsa bersama penduduk kampung segera pergi ke dalam hutan untuk mencari tetapi gagal menemui mangsa.
Operasi mencari mangsa turut disertai lima anggota bomba bantuan, enam anggota Rela dan 15 orang penduduk kampung.- UTUSAN