Lawatan Russia kukuhkan hubungan dua hala - Sultan Ibrahim

Lawatan Russia kukuhkan hubungan dua hala – Sultan Ibrahim

SULTAN Ibrahim dalam pertemuan rasmi bersama Presiden Russia, Vladimir Putin, selepas menghadiri majlis sambutan negara di Grand Kremlin Palace, Moscow.- FACEBOOK SULTAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyifatkan lawatan ke Russia mencerminkan hasrat ikhlas Baginda untuk memperkukuh hubungan serta memperluas kerjasama antara Malaysia-Russia.

Seri Paduka bertitah, Malaysia sentiasa menganggap Russia sebagai rakan kongsi yang dipercayai dan penting terutamanya dalam konteks kerjasama dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

“Hubungan diplomatik yang telah lebih lima dekad terjalin secara rasmi pada April 1967. Saya diingatkan bahawa Malaysia merupakan antara negara ASEAN terawal yang menjalin hubungan dengan Moscow.

“Seperti pepatah Russia, persahabatan lebih berharga daripada wang. Dengan semangat persahabatan inilah, saya percaya kita akan terus membentuk hala tuju hubungan antara kedua-dua negara demi kepentingan rakyat,” titah Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam pertemuan rasmi bersama Presiden Russia, Vladimir Putin, selepas menghadiri majlis sambutan negara di Grand Kremlin Palace, Moscow, semalam.

Ketibaan Seri Paduka Baginda di Kremlin disambut secara rasmi oleh Putin sebelum kedua-dua pemimpin berangkat ke St. George’s Hall, seterusnya ke Green Room untuk sesi mesyuarat rasmi.

Turut mengiringi Sultan Ibrahim ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Pengiring; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamad Zin dan Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Cheong Loon Lai.

Manakala delegasi Russia dianggotai Pembantu Presiden bagi Hal Ehwal Antarabangsa, Yury Ushakov; Menteri Pembangunan Ekonomi, Maxim Reshetnikov; Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi, Valery Falkov; Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar, Alexander Pankin dan Timbalan Menteri Pertahanan, Alexander Fomin.

Lawatan ini merupakan kunjungan rasmi pertama oleh Ketua Negara Malaysia ke Russia dan akan berlangsung sehingga 10 Ogos atas undangan rasmi Putin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN