PETALING JAYA: Tidak berpuas hati sehingga berdendam dipercayai punca seorang lelaki dibunuh di hadapan kedai makan di Jalan BS 6/8, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini, Ahad lalu.
Susulan itu, pihak polis menahan empat lelaki berusia antara 30-an hingga 40-an dalam serbuan di Jalan Songket, Taman Maznah, Klang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut.
“Kejadian berpunca akibat tidak puas hati sehingga menimbulkan dendam
“Pihak polis turut menemukan kereta Proton Wira Aeroback menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dipercayai digunakan semasa kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anbalagan berkata, keempat-empat suspek berasal dari Seri Kembangan itu mempunyai rekod jenayah lampau.
Ujar beliau, seorang daripada suspek juga mempunyai rekod berkaitan dadah namun hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap mereka didapati negatif dadah.
“Semua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 12 April nanti untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 30 tahun meninggal dunia akibat dibunuh di hadapan sebuah kedai makan di Jalan BS 6/8 Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini, Ahad lalu.
Pihak polis dimaklumkan penemuan mengenai seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang beralamat di Taman Bukit Serdang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati mangsa dibunuh dipercayai menggunakan senjata tajam seperti parang dan terdapat kesan tetak pada bahagian muka, leher serta tangan.- UTUSAN










