Lelaki lolos dari lokap ditahan semula

Lelaki lolos dari lokap ditahan semula

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN dalam sidang akhbar mengenai penahanan semula tahanan yang lolos dari lokap di IPK Pulau Pinang, Georgetown hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis  menahan semula tahanan lelaki yang melarikan diri dari Balai Lokap Berpusat di Bayan Baru, di sini, kira-kira pukul 6 petang semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan di dalam bilik di sebuah chalet di Batu Kurau, Perak.

Jelasnya, penahanan suspek itu yang meloloskan diri dari lokap berkenaan pada tengah malam Selasa lalu, didorong maklumat disalurkan orang awam selain risikan polis yang mengaktifkan operasi bagi mengesan suspek berkenaan.

“Ketika ditahan, suspek didapati mengalami masalah penyakit kulit yang teruk akibat alahan dan diberi rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Kita masih menjalankan siasatan bagaimana suspek boleh melarikan diri hingga ke kawasan tersebut serta sama ada dia mendapat bantuan daripada sesiapa,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen polis (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah malam 26 April lalu itu, lelaki tersebut yang ditahan kerana kesalahan dadah pada 20 April lalu di Jelutong dekat sini, disedari meloloskan diri dari lokap tersebut. 

Ekoran itu, seramai enam anggota polis berpangkat konstabel, koperal dan lans koperal berusia 20-an hingga 30-an ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, siasatan mendapati lelaki berkenaan melarikan diri dari lokap berpusat tersebut tanpa bantuan sesiapa termasuk anggota polis yang bertugas.

Jelasnya, lelaki itu kini direman empat hari bermula hari ini dan kes tersebut  disiasat menurut Seksyen 223 serta 224 Kanun Keseksaan. 

Dalam perkembangan sama, beliau menambah, siasatan pihaknya mendapati wujud elemen kecuaian dalam kejadian tersebut dan polis ketika ini sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap anggota polis yang terlibat.

“Dalam kertas siasatan ini juga kita akan usulkan tindakan yang sesuai kepada Timbalan Pendakwa Raya. Enam anggota tersebut telah dibebaskan daripada reman hari ini dan mereka turut dipindahkan ke bahagian lain sehingga siasatan selesai,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN