NIBONG TEBAL: Gara-gara cemburu dan salah faham, seorang lelaki menjadi mangsa pukul sekumpulan lelaki lain dalam kejadian di sebuah rumah di sini, kira-kira pukul 12.50 pagi, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Lee Chong Chern berkata, akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lengan kanan.
Katanya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap serta Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bagaimanapun kata Chong Chern, tidak ada sebarang laporan polis dibuat oleh mangsa susulan kejadian berkenaan setakat ini.
Sebaliknya kata beliau, pihaknya menerima dua laporan polis selain satu laporan pengadu bagi menarik balik laporan tersebut.
“Kejadian pukul itu juga tular di dalam laman sosial sejak pukul 10.38 pagi semalam menerusi dua rakaman video masing-masing berdurasi 44 dan 26 saat.
“Rakaman yang dimuat naik oleh seorang pengguna akaun Facebook yang dikenali sebagai ‘Dorai Samy’ itu menunjukkan mangsa telah dikasari oleh kesemua suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Chong Chern berkata, berikutan kejadian itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 498/506 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, ketika ini kesemua suspek yang terlibat telah ditangkap dan kertas siasatan telah dilengkapkan dan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk perhatian dan arahan lanjut.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan rakaman video itu sekali gus mengeruhkan lagi keadaan.
“Pada masa sama, mereka juga dinasihatkan tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya membuat laporan polis serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan,” katanya. – UTUSAN