KPDNHEP Perak rampas 7,000 liter diesel 

KPDNHEP Perak rampas 7,000 liter diesel 

ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Perak memeriksa tangki berisi minyak disyaki diesel dalam serbuan di sebuah kilang papan di Jalan Lubuk Merbok, Simpang Lawin, Kuala Kangsar semalam. - FOTO/IHSAN KPDNHEP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Sebuah kilang papan di Jalan Lubuk Merbok, Simpang Lawin di sini diserbu pihak berkuasa selepas disyaki menyimpan 7,000 liter minyak diesel tanpa kebenaran, semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, ketika serbuan dilakukan, bahan bakar itu sedang dipindahkan dari sebuah lori tangki ke dalam tangki skid di kilang papan berkenaan. 

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat 7, 000 liter minyak disyaki diesel disimpan di dalam premis tersebut tanpa mendapat kebenaran bertulis Pengawal Bekalan.

“Serbuan ini dijalankan hasil maklumat dan risikan oleh Unit Risikan KPDNHEP Perak selama satu minggu. Dalam serbuan itu, minyak yang disyaki diesel dan lori tangki disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM50,000,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, tindakan diambil ke atas pemilik kilang papan itu di bawah subperaturan 18(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel tanpa permit yang dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan. 

Katanya, bagi pembekal minyak diesel pula, kes disiasat di bawah Peraturan 9(2) Peraturan yang sama kerana menjual barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel kepada pihak yang tidak mempunyai kebenaran bertulis Pengawal Bekalan.

“KPDNHEP Perak memberi peringatan dan amaran kepada mana-mana individu dan syarikat supaya mematuhi Akta  Kawalan Bekalan 1961. Mana-mana individu atau syarikat yang  terlibat dalam penyelewengan barang kawalan bersubsidi akan  dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN