KKM ambil tindakan peniaga mi ada ulat, rambut dalam kuih limas

KKM ambil tindakan peniaga mi ada ulat, rambut dalam kuih limas

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius isu pencemaran makanan di bazar Ramadan termasuk ulat dalam mi dan gumpalan rambut yang dijumpai di dalam kuih limas baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya juga sudah mengeluarkan satu kompaun terhadap seorang pekerja gerai mi berkenaan kerana didapati tidak mengambil suntikan anti-tifiod.

Beliau berkata, tiga sampel turut diambil di gerai mi berkenaan bagi tujuan analisis mikroorganisma dan bendasing.

“Siasatan mendapati peniaga tersebut mempunyai sebuah premis makanan yang beroperasi di Cyberjaya di mana bahan mentah dimasak dan disimpan sebelum dipasarkan di bazar tersebut. 

“Kami akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan di premis berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pengendalian keselamatan makanan di premis tersebut,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini. 

Katanya, gerai mi berkenaan sudah diarahkan tutup oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana didapati tidak bersih. 

Noor Hisham berkata, pemilik gerai perlu mengambil langkah mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sebelum dibenarkan beroperasi semula. 

Selain itu, katanya, KKM membuka kertas siasatan ke atas pengeluar kuih limas terlibat bagi tujuan pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, sebanyak 4,362 premis Bazar Ramadan diperiksa sehingga kini menerusi Operasi Ramadan 2022 yang dijalankan di seluruh negara. 

Katanya, sebanyak 77 notis kompaun dengan nilai RM38,500 dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. 

“Di samping itu, sebanyak 178 sampel makanan juga telah diambil untuk dianalisis. Peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi kehendak di bawah Akta  Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. 

Katanya, beliau juga menasihatkan orang ramai agar membeli makanan di premis makanan yang bersih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN