Kes polis tinggi suara pun ada diadu kepada EAIC

Kes polis tinggi suara pun ada diadu kepada EAIC

SIDEK HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Meskipun tampak amat remeh, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tetap menerima aduan masyarakat yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan.

Malah, Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan menjelaskan bahawa, ada aduan itu yang dianggap sebagai tidak masuk akal dan akhirnya ditutup begitu sahaja kerana pelbagai faktor.

“Paling banyak melibatkan pihak polis dengan ada aduan itu yang bagi saya agak pelik seperti anggota terbabit didakwa sengaja meninggikan suara apabila menjalankan tugas,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas tamat Majlis Apresiasi EAIC bersama-sama dengan semua Agensi Penguatkuasaan Seliaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

EAIC ditubuhkan pada 1 April 2011 bagi menyelia sejumlah 21 agensi penguatkuasaan yang membabitkan pelbagai jabatan kerajaan di bawah Akta EAIC 2009 atau pun dikenali Akta 700.

Mengulas lanjut, Mohd. Sidek berkata, setakat semalam sahaja, EAIC menerima 6,099 aduan terhadap pelbagai agensi penguatkuasaan dengan sejumlah 5,163 fail siasatan telah dibuka.

“Aduan tidak dibuka itu ialah melibatkan agensi bukan di bawah seliaan EAIC selain aduan tanpa butiran lengkap, yang tidak membolehkan sebarang tindakan susulan diambil,” jelas beliau.

Daripada jumlah berkenaan, EAIC berjaya menyelesaikan 5,097 fail aduan manakala 1,097 fail siasatan dibuka dengan kes yang sudah diselesaikan selepas siasatan lanjut pula ialah 1,046.

Pada masa yang sama, beliau menegur ada agensi penguatkuasaan tidak menyelesaikan kes walaupun tular diperkatakan masyarakat sehingga mencetuskan tanda tanya situasi terkininya.

Antara yang menarik perhatian beliau ialah kes helikopter mendarat di Ipoh, Perak untuk mengambil tempahan nasi ganja pada 23 Julai 2021 apabila setakat ini tiada perkembangan susulan.

Justeru, beliau meminta agensi terbabit agar tidak menutup kes sedemikian dan menganggapnya sebagai sudah selesai kerana ia boleh menghakis kredibiliti imej pihak kerajaan akhirnya.

Bagaimanapun Mohd. Sidek memuji pihak polis amat proaktif memastikan banyak aduan yang diterima oleh EAIC melibatkan pasukan tersebut berjaya ditangani dengan baik dan berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN