IPOH: Kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung siasatan dakwaan penjualan tanah untuk pembinaan lapangan terbang antarabangsa Seri Iskandar di Perak Tengah.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri tidak akan melindungi sebarang maklumat daripada pihak bertanggungjawab yang menjalankan siasatan.
“Sudah ada laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis. Kepada mana-mana pihak yang ingin menjalankan siasatan (dakwaan penjualan tanah lapangan terbang), maka kerajaan negeri dan agensinya tidak akan melindungi apa-apa maklumat.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk buat siasatan dan kita yakin mereka akan membuat siasatan secara telus,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Dasar Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) Perak dan Pelancaran Belia Perak Bertadarus di bejabat beliau di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Mengenai gesaan pihak pembangkang agar beliau sebagai Menteri Besar dan UMNO juga membuat laporan polis dan SPRM mengenai penjualan tanah itu, Saarani berkata, memadai satu laporan sahaja dibuat.
“Untuk mana-mana agensi menjalankan siasatan, memadai satu laporan sahaja. Saya tengok ramai yang telah membuat laporan dan polis akan membuat siasatan berdasarkan laporan itu.
“Saya tidak akan menari ikut gendang orang, yang penting kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan dan telus,” katanya.
Terdahulu hari ini, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi pemberita berkata, pihaknya telah memulakan siasatan berhubung penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar.
Ini susulan laporan yang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi semalam.
Semalam, Asmuni bersama tiga lagi bekas exco kerajaan negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu ADUN Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin; ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How dan ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing adir ke Pejabat SPRM Perak bagi mengemukakan aduan rasmi berhubung isu tersebut.
Howard Lee dalam sidang akhbar selepas itu menjelaskan tindakan tersebut dibuat bagi meminta siasatan lengkap dibuat terhadap isu tersebut memandangkan penjualan tanah dibuat tanpa melalui mesyuarat exco.
Isu penjualan tanah lapangan terbang terbabit timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming mendakwa tanah berkenaan sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.
Saarani kemudiannya berkata, penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta bagi tujuan pembangunan bercampur di kawasan terbabit. – UTUSAN