LUMUT: Kerajaan Pusat diminta mempertimbangkan semula pembinaan Program Penempatan Semula Nelayan (PNS) di kawasan tebus guna tanah di Teluk Muroh di sini, seperti pelan awal iaitu membina pangsapuri untuk komuniti itu serta penduduk sekitar kawasan tersebut.
Permintaan itu dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir selepas beliau dimaklumkan bahawa Unit Perancang Ekonomi (EPU) bercadang membina rumah mampu milik bertanah atau ‘landed‘ di kawasan tambakan laut itu.
Jelas beliau, perancangan awal projek itu ialah membina unit pangsapuri untuk penempatan semula penduduk yang belum memiliki rumah di Teluk Muroh dan Kampung Padang Tembak, generasi kedua dan komuniti nelayan di situ, di kawasan berkeluasan kira-kira 16 hektar tersebut.
Zambry berharap projek tersebut dapat memberi manfaat kepada ramai penduduk namun dijangka hanya segelintir penduduk yang mendapat manfaat apabila pelan itu diubah kepada pembinaan rumah ‘bertanah’.
“Ketika saya menjadi Menteri Besar, pihak kerajaan negeri bersama EPU bekerjasama dan berbincang untuk membela kehidupan komuniti nelayan di Pangkor dan Teluk Muroh khususnya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor. Saya minta kerajaan membina pangsapuri seperti di Teluk Bharu, Pulau Pangkor supaya ramai boleh duduk dan ia dibina secara berfasa,” katanya ketika ditemui selepas program Ihya dan Jariah Ramadan kepada penduduk Kampung Teluk Muroh di sini semalam.
Menurut Zambry, kerja-kerja tebus guna tanah di Teluk Muroh itu sudah selesai, namun sehingga kini tiada sebarang kerja pembinaan dilakukan.
Jelas beliau, projek itu sebelum ini tertangguh selepas mendapat bantahan beberapa pihak sebelum tergendala sekali lagi apabila berlaku pertukaran kerajaan di peringkat negeri dan Persekutuan, justeru kerajaan negeri diharap dapat membantu untuk meyakinkan Kerajaan Pusat khususnya EPU mengekalkan PNS Teluk Muroh seperti perancangan asal.
“Kita juga berharap kerajaan dapat membina jeti nelayan di Teluk Muroh ini seperti yang dijanjikan kepada mereka sebelum ini,” katanya yang sudah membawa perkara itu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebelum ini.
Difahamkan, projek yang bermula pada 2017 itu mempunyai dua fasa, fasa pertama membabitkan kerja penambakan pesisir pantai seluas 17.8 hektar manakala fasa kedua pula ialah pembinaan 145 unit rumah kos sederhana di kawasan itu.
Dalam pada itu, Zambry berkata, Pangsapuri PNS Teluk Bharu di Pulau Pangkor yang sudah siap tiga tahun lalu, kini berhadapan masalah kekurangan penghuni atas faktor syarat yang agak ketat dikenakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Beliau dimaklumkan setiap pemohon rumah tersebut perlu mempunyai kad nelayan sekali gus menyukarkan generasi kedua iaitu anak nelayan menduduki penempatan itu.
“Ada anak nelayan sudah berkeluarga dan bekerja di sektor lain 0tetapi masih tinggal bersama keluarganya, termasuk ada dua atau tiga keluarga tinggal bersama, disebabkan permohonan rumah PNS tidak lulus kerana tiada kad nelayan sedangkan matlamat (projek itu) untuk generasi kedua nelayan juga. Penempatan itu mempunyai 135 unit tetapi yang tinggal di situ tidak sampai 100 orang atas kekangan syarat tersebut. Saya berharap syarat sama untuk generasi kedua di Teluk Muroh juga sama (tidak memerlukan kad nelayan),” jelasnya. – UTUSAN