Tak bawa MyKad, pekerja kimpalan berdepan penjara tiga tahun

Tak bawa MyKad, pekerja kimpalan berdepan hukuman penjara tiga tahun

MyKad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Padah tidak membawa kad pengenalan (MyKad) ketika keluar rumah, seorang pekerja kimpalan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas kesalahan gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri.

Tertuduh, Mohd. Rizuan Shamsul Bahri mengaku salah di hadapan Penolong Pendaftar, Wan Khushairi Wan Roslei selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 42 tahun itu didakwa tidak membawa kad pengenalan diri pada setiap masa seperti mana dalam Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dekat tempat letak kereta Hospital Bukit Tinggi Medical Centre (BTMC) pada 5 Mei lalu kira-kira pukul 4.35 petang.

Justeru, dia dituduh di bawah Peraturan 25(1) PPPN 1990 yang memperuntukkan penjara sehingga tiga tahun, denda RM20,000 atau kedua-duanya kerana gagal menunjukkan MyKad ketika diminta oleh pegawai yang diberi kuasa.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nadia Syuhada Rosli, mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500 selepas memohon tarikh baharu bagi mengemukakan fakta kes dan jatuh hukum.

Peguam, James Chan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Mohd. Rizuan kemudian memohon jaminan dikurangkan kerana bekerja dengan pendapatan sebanyak RM1,800 sebulan sahaja.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM500 dan menetapkan 12 Jun depan bagi sebutan fakta kes serta jatuh hukum. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN