Kenderaan hidrogen untuk masa depan - Utusan Malaysia

Kenderaan hidrogen untuk masa depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Awal tahun 2022 menyaksikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melancarkan dua buah kenderaan hidrogen yang dibangunkan melalui pengubahsuian terhadap kenderaan elektrik.

Dua kenderaan inovasi berkenaan, kenderaan utiliti sukan (SUV) hibrid versi mini (UKM-FCH2HC) dan kereta golf atau bugi (UKM-FCH2B) dibangunkan oleh pasukan penyelidik dari Institut Sel Fuel (SELFUEL) UKM dengan kerjasama pihak industri.

UKM-FCH2HC adalah hasil kerjasama bersama syarikat Myrenergy Sdn. Bhd. manakala UKM-FCH2B adalah kolaborasi bersama Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Penyelidik yang juga Timbalan Pengarah SELFUEL, Prof. Madya Dr. Mohd. Shahbudin berkata, UKM-FCH2HC merupakan kenderaan mesra alam yang menggunakan satu teknologi berpancaran sifar dan bersih iaitu sel fuel hidrogen dan bateri.

Kuasa elektrik daripada sel fuel hidrogen dihasilkan secara langsung daripada tindak balas elektrokimia dari gas hidrogen dan oksigen dalam udara tanpa pembakaran.

Proses berkenaan hanya menghasilkan yang berbentuk air dan haba.

“Ia mempunyai kuasa elektrik dengan nisbah 0.5 yang mana setiap sumber kuasa sel fuel hidrogen dan bateri mampu mencapai kapasiti sehingga 10 Kilowatt (KW).

“Inovasi ini secara tidak langsung membolehkan kenderaan ini bergerak lebih jauh daripada jarak asal. Sistem sel fuel ini turut dilengkapi unit sokongan seperti pelembap dan pendingin air bagi memastikan prestasi sentiasa berada pada tahap optimum,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi UKM-FCH2B pula, sistem sel fuel digunakan bagi menggantikan kuasa elektrik menggunakan bateri untuk meningkatkan kecekapan pengoperasian bugi.

Kenderaan itu juga boleh berfungsi sebagai penjana kuasa pegun berkuasa 3000 Watt (W) bagi penggunaan peralatan elektrik.

Mengulas lanjut, Dr. Shahbudin berkata, kelebihan sistem sel fuel adalah ia mempunyai kadar pengecasan semula lebih pantas berbanding kenderaan elektrik.

“Kalau kenderaan elektrik 10 KW misalnya memerlukan masa antara enam hingga tujuh jam untuk pengecasan penuh, manakala sistem yang dibangunkan ini hanya memerlukan kadar isian semula sekitar tiga minit,” ujarnya lagi.

Penyelidikan yang dibangunkan sejak tiga tahun lalu itu menggunakan geran penyelidikan bernilai RM200,000 yang akan memanfaatkan warga UKM dalam menuju aspirasi mobiliti rendah karbon.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, Institut Sel Fuel UKM juga telah diiktiraf sebagai Ketua Program Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan (KKP) dalam katogeri Pengangkutan dan Mobiliti oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Pelancaran kenderaan sel fuel hidrogen ini merupakan tanda sokongan dan komitmen UKM terhadap Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030 Malaysia untuk mencapai pengurangan gas rumah hijau (GHG) sehingga 45 peratus menjelang 2030 dan menjadi negara neutral karbon seawal tahun 2050.

“Hal ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah matlamat SDG ke-7, akses kepada tenaga yang mampu dimiliki dan bersih,” katanya yang menjangkakan kenderaan berkenaan bakal dikomersialkan menjelang tahun 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.