PETALING JAYA: Kebersihan makanan termasuk sehingga wujudnya ulat dalam juadah disediakan tidak boleh dikromponi kerana ia mampu memudaratkan kesihatan pengguna dan pembeli.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Program Sains Pemakanan dan Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCH), Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Ruzita Abd. Talib berkata, cara penyediaan makanan yang tidak betul boleh menyebabkannya tercemar dan dalam sesetengah kes terdapat ulat di dalamnya.
Katanya, ini berikutan walaupun masakan dimasak panas, masih terdapat ulat dalam makanan tersebut.
“Bahan-bahan seperti ayam dan sotong yang digunakan mungkin tidak dibasuh dengan bersih bahagian dalamnya dan penjual membiarkannya terdedah di bawah suhu bilik selepas dibersihkan.
“Keadaan ini menjadi satu medium yang sesuai untuk mikroorganisma membiak sekali gus menyebabkan kemunculan ulat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Terdahulu, tular satu klip video yang memaparkan mi goreng sotong yang dibeli seorang pembeli di bazar Ramadan Putrajaya mempunyai ulat.
Menurut Ruzita, kewujudan ulat dalam makanan boleh berlaku apabila suhu ketika memasak atau menggoreng tidak dapat membantu membunuh mikroorganisma yang telah membiak.
“Apabila pembeli membawa balik makanan tersebut dan menunggu masa untuk berbuka puasa, tempoh yang lama itu menyebabkan wujudnya ulat dalam makanan itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kesedaran penjual untuk memastikan makanan disediakan dan dimasak selamat dimakan adalah amat penting berbanding meningkatkan kadar kompaun.
Selain itu, katanya, pihak berkuasa tempatan sewajarnya memastikan bahawa semua penjaja dan pekerja gerai makanan mengikuti latihan pengendalian sekali gus melaksanakannya dengan betul.
“Dengan mengikuti latihan tersebut, mereka sebenarnya diajar cara penyediaan, penyimpanan, masak dan mempersembah makanan dengan lebih selamat dan bersih,” jelasnya.
Justeru, beliau menasihatkan orang awam terutama pembeli untuk memboikot terus gerai-gerai makanan yang mana penjual tidak mementingkan kebersihan.
“Jika kita sudah nampak penjual itu mengambil makanan tanpa memakai sarung tangan yang mana jelas memang kotor, jangan pergi langsung ke kedai tersebut. Sikap ini terletak atas pembeli, kita kena ubah daripada diri kita.
“Pembeli juga dinasihat menyimpan makanan yang dibeli di dalam peti sejuk dan memanaskan semula apabila sudah hampir masa untuk berbuka puasa bagi mengelakkan makanan terdedah,” katanya. – UTUSAN