Kartel `perhambakan' penternak - Utusan Malaysia

Kartel `perhambakan’ penternak

Kartel didakwa memonopoli industri ayam sehingga penternak seolah-olah diperhambakan kartel. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri ternakan ayam negara ini bagaikan `diperhambakan’ kumpulan kartel sehingga banyak ladang ternakan beroperasi dalam keadaan nyawa-nyawa ikan kerana pulangan diperoleh tidak sepadan dengan penat lelah.

Penternak ayam akan melalui kartel atau tengah bermula daripada perolehan anak ayam, makanan, ubat-ubatan, vitamin sehinga pembelian semula ayam matang selepas berusia 30 hingga 40 hari.

Sumber dalaman industri ayam memberitahu Utusan Malaysia, pihaknya mempunyai bukti kegiatan kartel yang memeras penternak termasuk tidak menyediakan kontrak perjanjian penternakan yang telus malah boleh mengatur harga ayam di pelbagai peringkat.

Kartel-kartel tersebut didakwa berselindung di bawah persatuan penternakan turut melakukan sabotaj kepada syarikat lain yang ingin menceburi industri ayam.

Sumber itu memberitahu, antara bentuk sabotaj itu seperti mengupah persatuan penduduk tempatan untuk melakukan piket membantah projek ternakan ayam yang cuba dibangunkan pesaing mereka.

“Monopoli kartel sangat memberi kesan kepada penternak kerana mereka boleh menentukan harga belian ayam dari ladang dengan rendah berbanding harga yang dijual semula pihak kartel ke pasaran terbuka seperti di pasar dan pemborong,” kata sumber itu baru-baru ini.

Sumber itu berkata, terdapat lima hingga enam kartel besar sedang memonopoli industri ayam negara ini dan kumpulan kartel itulah yang menjadi penentu kepada stok dan harga ayam di pasaran.

Penternak Johor mahu tutup ladang

Kata sumber itu, perkembangan terbaru membabitkan tekanan kartel ialah membabitkan 95 penternak di Johor yang didakwa sedang berkira-kira untuk memutup operasi ternakan ayam.

“Keluhan 95 penternak itu mempunyai bukti yang dikaitkan dengan aktiviti kartel yang memeras mereka, termasuk tidak menyediakan kontrak perjanjian yang telus terutama dalam soal harga anak ayam.

“Kemuncak cengkaman kartel apabila harga belian semula ayam dari ladang ternakan yang terlalu murah berbanding harga yang dijual semua ke pasaran terbuka seperti di pasar-pasar atau kepada pemborong-pemborong besar,” kata sumber.

Mengulas lanjut, kata sumber itu, kartel-kartel sangat `berkuasa’ apabila kerajaan yang cuba membangunkan ladang dan reban ayam bagi membantu penternak tidak kesampaian kerana rancangan itu dipintas kartel.

“Sepatutnya, kos ternakan mampu ditanggung penternak jika harga ayam yang dijual tidak mengikut harga yang dikawal oleh kartel. Maknanya harga yang berpatutan yang diambil dari ladang ternakan seterusnya ayam yang boleh dijual mengikut harga pasaran sebenar,” kata sumber itu yang melihat isu kartel sukar dibanteras.

Kata sumber itu lagi, jika kerajaan gagal membela nasib penternak di Johor sehingga mereka benar-benar gulung tikar, bekalan ayam akan terjejas dan mencetuskan masalah kepada rakyat lebih-lebih lagi menjelang sambutan Aidilfitri awal bulan depan.

Bakar anak ayam kawal harga

Dalam pada itu, satu sumber lain berkata, bagi mencengkam industri ayam, kartel akan mengawal bekalan anak ayam bagi tujuan pembakaan di seluruh negara.

Sumber itu memberitahu, sebagai contoh kartel-kartel berkuasa menentukan berapa jumlah anak ayam yang mahu berada di pasaran setiap hari sekali gus dengan bebas menetapkan harga anak ayam tanpa disekat oleh kerajaan.

Kata sumber, banyak situasi jika terlalu banyak ayam di pasaran, kartel-kartel tergamak membakar anak ayam bagi memastikan bekalan dalam pasaran berkurangan, sekali gus boleh menaikkan harga dengan alasan stok terhad.

“Berbeza dengan fahaman umum kononnya penternak yang menetaskan anak ayam, sebenarnya stok anak ayam untuk dijadikan baka di negara ini dikawal oleh kartel.

“Setiap hari, mereka akan menetaskan telur ayam di pusat penetasan. Apabila anak ayam menetas dan berusia sehari, mereka hantar anak-anak ayamkepada penternak di seluruh negara.

“Penternak cuma membela ayam 30 ke 45 hari, selepas itu ayam terus dijual ke pasaran,” katanya.

Menjelaskan lanjut, sumber mendakwa, kerajaan tiada kawalan ke atas bekalan anak ayam dan stok ayam di pasaran sebaliknya industri itu dikawal kartel seratus peratus.

MAFI dituduh tidak berfungsi

Memberi contoh, Jabatan Veterinar pada Januari sehingga Julai 2020, merekodkan ketidakstabilan harga anak ayam ketara dan perkara tersebut menunjukan kerajaan hilang kawalan ke atas bekalan anak ayam, sebaliknya menyerahkan kepada kartel untuk menentukan bekalan dan harga ke pasaran.

“Merujuk statistik itu, pada 8 Mei 2020, harga terendah anak ayam cuma 80 sen seekor, tapi pada 3 Julai 2020 harga naik mendadak sehingga RM2.50 seekor.

“Soalnya, kenapa kerajaan seakan-akan tidak mampu bertindak bagi mengawal perkara itu? Apa yang Kementerian Pertanian dan Industri (MAFI) buat, sedangkan mereka ada agensi seperti Jabatan Veterinar untuk pantau industri ayam,” kata sumber itu.

Untuk rekod, kali terakhir Jabatan Veterinar memaparkan harga anak ayam bagi tujuan baka adalah pada 2020, dalam laman sesawang www.dvs.gov.my/index.php/pages/view/2951.

Semakan mendapati, harga anak ayam pembakaan sepanjang tahun itu turun naik secara drastik, dengan yang tertinggi mencecah RM2.50 seekor anak ayam pada 3 Julai, 2020.

 

Pembekal campur anak ayam tidak berkualiti

Sementara itu, di Selangor, Setiausaha Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS), Mohd. Muzamri Soib berkata, penternak negeri tersebut sedang dilanda masalah apabila mendakwa pembekal sengaja mencampur aduk anak ayam berkualiti dengan yang tidak berkualiti.

Menurut beliau, sikap kapitalis pembekal anak ayam di negeri tersebut merisikokan penternak rugi apabila ayam yang diternak tidak membesar seterusnya tidak boleh dijual.

“Perkara ini jika berterusan bukan sahaja mengganggu pusingan modal penternak tetapi masalah lebih besar pasaran ayam mentah di negeri ini terganggu lebih-lebih lagi dekat raya,” kata beliau ketika ditemui baru-baru ini.

Selain itu, dedah Muzamri, dasar pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap penternak yang menyusahkan sejak kebelakangan ini juga turut memberi tekanan kepada penternak sehingga ada yang mengambil keputusan untuk menutup atau menghentikan operasi reban mereka.

Jelas beliau, di Selangor terdapat tiga syarikat ternakan melibatkan sembilan hingga 10 ladang sukar untuk beroperasi berikutan keperluan mengeluarkan belanja tambahan bagi mematuhi peraturan-peraturan PBT seperti pelan pembinaan pusat ternakan.

“Selangor juga ada sembilan daerah dan setiap daerah ada syarat yang berbeza-beza. Masalah ketidakseragaman itu menyukarkan persatuan membantu penternak menguruskan perusahaan reban mereka mematuhi peraturan PBT, begitu juga di Johor.

“Namun untuk mematuhinya, penternak terpaksa berbelanja lebih RM100,000 dan ada yang terpaksa menanggung kos lebih setengah juta ringgit. Hal demikian menyebabkan penternak mengambil keputusan untuk menutup operasi,” luahnya.

Kata Muzamri lagi, perkara itu sudah pun dibangkitkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Veterinar supaya membantu penternak mengelakkan kerenah birokrasi PBT bagi menjamin bekalan makanan negara stabil.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN