SHAH ALAM: Kartel ayam dikesan tetap mengaut keuntungan lebih dua kali ganda berbanding peniaga walaupun mereka menyerap sebahagian kos makanan ayam kira-kira 50 hingga 60 sen apabila membeli ayam hidup daripada penternak pada harga RM5.50 sekilogram.
Keuntungan dikaut sekitar RM2 hingga RM2.50 apabila menjualnya kepada peniaga di pasar-pasar pada harga RM7.60, malah mereka turut mengenakan caj penghantaran sebanyak 50 sen bagi setiap kilogram (kg) ayam menjadikan harga yang dijual kepada peniaga adalah RM8.10.
Berbanding peniaga, mereka hanya menjual kepada pengguna pada harga RM8.90 sekilogram dan terpaksa mengenakan caj pemotongan sebanyak 40 sen bagi mengimbangi kos operasi perniagaan setiap hari.
Perkara itu dikongsi seorang peniaga di pasar awam sekitar Shah Alam yang memberitahu, mereka tiada pilihan selain akur dengan tekanan pembekal untuk memastikan bekalan ayam cukup untuk dijual.
Menurutnya, situasi tersebut dihadapi peniaga-peniaga di hampir semua pasar sekitar Selangor apabila berterusan tertekan dengan kenaikan harga makanan ayam.
“Jika hanya 100 ekor sahaja ayam dengan anggaran berat sekitar dua kilogram dapat dijual dalam masa sehari, keuntungan yang diperoleh cuma RM160. Sebab itu kami terpaksa kenakan caj pemotongan sebanyak 40 sen seekor, itupun baru dapat RM40.
“Macam mana hendak bayar kos pembantu kedai yang gaji hariannya sekitar RM60 hingga RM80 sehari. Berbanding kartel-kartel mereka jual puluhan ribu ekor ayam termasuk ayam rosak dan patah tulang, sudah tentu keuntungannya lebih besar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Diperhambakan
Terdahulu, akhbar ini melaporkan industri ternakan ayam di negara ini dilihat seperti ‘diperhambakan’ oleh kumpulan kartel sehingga banyak ladang ditutup atau beroperasi dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ kerana pulangan diperoleh tidak sepadan dengan penat lelah.
Dalam pada itu, peniaga-peniaga ketika ditemui turut mendakwa mereka dimaklumkan oleh pembekal mengenai bekalan ayam menjelang Aidilftri berkurangan dan tidak dapat memenuhi permintaan jualan terutama pada hari Sabtu dan Ahad ini.
Peniaga sama memberitahu, situasi kekurangan bekalan yang ketara pada tahun ini adalah pertama kali berlaku apabila bekalan ayam yang diminta tidak dapat dipenuhi oleh pembekal.
“Hari ini (kelmarin) saya tempah bekalan ayam daripada pembekal adalah sebanyak 200 ekor sehari untuk jualan pada Sabtu dan Ahad ini, tetapi mereka memberitahu hanya dapat bekalkan tidak sampai 20 ekor kerana kekurangan bekalan,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga yang ditemui turut memaklumkan situasi sama dihadapi apabila membuat tempahan kepada pembekal sebelum diberitahu hanya mendapat sekitar 100 ekor ayam untuk jualan pada hujung minggu ini.
“Saya minta 200 ekor, itupun kurang berbanding tempoh sama pada tahun-tahun lalu sekitar 500 ekor. Tetapi hanya dapat bekalan sekitar 100 ekor sahaja selepas beberapa pembekal dihubungi bagi mendapatkan bekalan ayam,” ujarnya.- UTUSAN










