Kapal tangki Tanzania ditahan berlabuh secara haram

Kapal tangki Tanzania ditahan berlabuh secara haram

ASET Maritim Malaysia menahan kapal tangki dari Tanzania yang berlabuh secara haram di Tanjung Sedili Kecil, Kota Tinggi, Johor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sebuah kapal tangki yang berdaftar di Zanzibar, Tanzania ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas disyaki berlabuh secara haram di kedudukan 15.2 batu nautika Tanjung Sedili Kecil, dekat sini petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal berkenaan ditahan dalam satu operasi rutin sekitar pukul 1.45 petang.

“Kapal sepanjang 64 meter itu dikendalikan lapan kru lelaki warga Indonesia berusia di antara 25 hingga 59 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil semakan terhadap dokumen kapal mendapati nakhoda kapal tangki tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.

“Nakhoda kapal dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, di samping melaksanakan Op Jangkar Haram bagi membanteras kegiatan bersauh tanpa kebenaran, Maritim Malaysia Johor turut terlibat dalam Op Khas Pagar Laut bagi mengekang jenayah rentas sempadan sempena musim perayaan yang bakal menjelang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN