ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri memberi cuti kelepasan am iaitu Cuti Khas Peristiwa pada 2 Mei iaitu Isnin ini sempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keputusan itu dibuat selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan bersetuju mengisytiharkan tarikh tersebut sebagai Hari Kelepasan Am.
Katanya, cuti berkenaan terpakai kepada semua jabatan negeri, badan berkanun negeri, pihak berkuasa tempatan negeri, syarikat berkaitan kerajaan dan juga syarikat swasta di negeri ini.
“Menyedari ramai Bangsa Johor yang ingin pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba, kerajaan negeri membuat keputusan untuk memberikan cuti kelepasan am pada 2 Mei 2022 (Isnin).
“Semoga kita semua beroleh manfaat dari cuti perayaan bagi bersama-sama keluarga, sanak-saudara serta rakan taulan meraikan hari lebaran. Rancanglah perjalanan dengan baik agar sentiasa lancar dan selamat ke destinasi masing-masing,” katanya di sini hari ini.
Umat Islam di negara ini dijangka menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 3 Mei ini manakala hari kelepasan am pula ditetapkan pada 3 dan 4 Mei dan sambutan Hari Pekerja jatuh pada 1 Mei.
Johor menggazetkan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu, justeru, negeri ini tidak terlibat dengan cuti gantian pada 2 Mei (Isnin).
Tambah Onn Hafiz, kuasa bagi mempertimbang kelulusan cuti kelepasan am (Cuti Khas Peristiwa) dibuat dengan merujuk Seksyen 9 (1) Akta Hari Kelepasan 1951 – (Akta 369).
“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira beberapa perkara yang memudahkan perancangan rakyat negeri ini untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri setelah dua tahun tidak dapat meraikannya.
“Selain itu, ia turut mengurangkan kesesakan lalu lintas dan risiko kemalangan jalan raya pada hari Isnin sebelum perayaan bagi mereka yang bekerja dan tergesa-gesa untuk pulang menyambut hari perayaan.
“Di samping meningkatkan motivasi dan kebajikan kepada pekerja dengan memberi cuti lebih awal, ia juga memberi kemudahan kepada ibu bapa bagi menguruskan anak anak yang tidak bersekolah dan masih kecil kerana pusat penjagaan kebanyakannya ditutup pada tarikh tersebut,” ujarnya. – UTUSAN