Jangan timbulkan perbezaan bahasa Melayu-Indonesia - Utusan Malaysia

Jangan timbulkan perbezaan bahasa Melayu-Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meminta masyarakat negara ini agar tidak menjadikan isu perbezaan kecil bahasa Melayu dan Indonesia sebagai masalah polemik.

Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, kedua-dua dialek besar berkenaan tetap pada akhirnya itu dirujuk sebagai Bahasa Melayu-Indonesia.

“Isu ini tidak perlu pun ditimbul atau dibesar-besarkan kecuali ada niat pihak tertentu ingin menggagalkan usaha penyatuan menjadi bahasa rasmi ASEAN,” katanya melalui kenyataan.

Beliau merujuk sokongan Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika menerima lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke negara jiran itu di Jakarta, kelmarin.

Pemimpin republik tersebut malah bersetuju dan berjanji untuk bergerak bersama-sama menambah peluang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi rantau Asia Tenggara.

Bahasa berkenaan yang berasal daripada keluarga besar Austronesia sejak kurun ketujuh Masihi ketika ini dipertuturkan lebih 300 juta individu termasuk di Australia dan Afrika Selatan.

Ismail Sabri pada Februari lalu melakar sejarah apabila berbahasa Melayu ketika lawatan ke luar negara diikuti tindakan Wisma Putra mengutus surat dalam bahasa itu kepada tokoh luar.

Mengulas lanjut, Awang yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, langkah dua pemimpin serumpun itu amat besar maknanya.

“Dengan paduan semua negara yang ada penutur bahasa ini, cadangan mengangkat sebagai bahasa supranasional atau rentas sempadan geopolitik itu patut diusahakan,” tambahnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN