GEORGETOWN: Parti Gerakan negeri mencadangkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjalankan projek meningkatkan kapasiti air di Empangan Air Itam atau menggaris semula kawasan pembekalan air dari tiga empangan utama di sini supaya tidak berlaku masalah bekalan air di negeri ini.
Jurucakap Parti Gerakan Pulau Pinang Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Itam, Eric Woo berkata, pihaknya berasa bimbang dengan kenyataan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang mana kapasiti Empangan Air Itam kini hanya berada pada paras rendah iaitu 38.5 peratus sahaja.
“Kerajaan negeri perlu mengambil serius cadangan ini kerana kawasan di Bukit Kukus, Paya Terubong dan Bandar Baru Air Itam berkemungkinan akan wujud projek-projek perumahan baharu.
“Pada masa itu, Empangan Air itam sudah tentu tidak dapat menampung keperluan penggunaan air yang semakin meningkat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, pengguna air di Pulau Pinang dinasihatkan menggunakan air dengan berhemat pada bulan ini dan bulan depan memandangkan kapasiti Empangan Air Itam berada pada paras rendah iaitu 38.5 peratus setakat 31 Mac lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, sejak 1 Januari tahun ini, kapasiti efektif Empangan Air Itam telah menyusut sebanyak 50.8 peratus kepada tahap amaran iaitu 38.5 peratus.
Menurut Eric, populasi di sekitar kawasan Air Itam telah meningkat sejak 1962 sedangkan kapasiti penyimpanan air Empangan Air itam masih pada tahap sama sejak 60 tahun dulu.
“Sekiranya taburan hujan di kawasan tadahan air empangan Air Itam berkurangan, adakah kerajaan negeri akan mencari sumber air baharu di kawasan berdekatan yang taburan hujan lebih tinggi untuk disalurkan ke empangan Air Itam?” katanya.
Tambahnya, meskipun tidak ada salahnya untuk kerajaan negeri menyeru pengguna sentiasa berhemah menggunakan air, namun faktor peningkatan populasi di kawasan tertentu juga perlu diambil kira kerana akan menyebabkan peningkatan penggunaan air.
“Selain itu, kejadian kebocoran paip bawah tanah juga merupakan salah satu isu yang perlu dipandang serius dan memerlukan perhatian daripada pihak berkenaan,”katanya. –UTUSAN










