'Jalan berliku' RUU lompat parti - Utusan Malaysia

‘Jalan berliku’ RUU lompat parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pilihan Khas mengkaji Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang mula bermesyuarat semalam diberikan tempoh sebulan meneliti pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berkaitan larangan wakil rakyat melompat parti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tempoh itu dilihat singkat untuk memperhalusi banyak perkara termasuk perkara berbangkit khususnya tafsiran melompat parti.

Namun jelas beliau, pihaknya cuba sedaya upaya menyelesaikan isu yang timbul dalam waktu berkenaan.

Beliau juga telah meminta Jabatan Peguam Negara mengeluarkan garis masa proses penggubalan undang-undang tersebut sebelum pembentangan akta yang akan dilakukan pada satu lagi sidang khas Parlimen.

“Memandangkan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang terlalu luas, ia menimbulkan kebimbangan ahli-ahli Parlimen dan menyebabkan mereka bersetuju agar perkara tersebut perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

“Ketika sesi libat urus bersama ahli Parlimen pada Ahad lalu, ramai membangkitkan pandangan berkenaan pindaan Perkara 10 yang disifatkan terlalu luas dan berpandangan perlu dimasukkan frasa untuk ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sahaja, adakah ia untuk rakyat keseluruhan?

“Justeru mesyuarat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan wakil-wakil Pakatan Harapan (PH) bersetuju supaya pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan di Dewan Rakyat dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen,” katanya.

Isnin lalu, Wan Junaidi mengemukakan usul dalam Dewan Rakyat berkaitan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bertujuan meneliti dan memuktamadkan draf RUU Pindaan Perlembagaan dan RUU berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Jawatankuasa Pilihan Khas itu diberikan kebebasan menjemput mana-mana pihak berkaitan seperti Ahli Parlimen, pakar-pakar perundangan dan perlembagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat serta individu-individu lain hadir dalam sidang Jawatankuasa Pilihan Khas dari semasa ke semasa.

Jawatankuasa itu akan dipengerusikan Wan Junaidi manakala keanggotaannya terdiri daripada 10 ahli Parlimen antaranya Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas), Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).

Selain itu, Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti), Gobind Singh Deo (PH-Puchong), Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (PH-Tuaran), Datuk Seri Saifuddin Nasution (PH-Kulim Bandar Baharu) dan Datuk Ignatius Dorell Leiking (PH-Penampang).

Sebelum ini, Azalina mempersoalkan rancangan pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang dilihat boleh mengundang krisis perlembagaan kerana tanpa undang-undang anti lompat yang ditakrifkan dengan ketat akan menjadi terlalu luas dan berbahaya.

POLEMIK PINDAAN PERKARA 10, 48

Sementara itu peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, langkah kerajaan menggubal RUU Anti Lompat Parti dijangka berdepan satu lagi masalah jika tidak melakukan pindaan ke atas Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh soal hilang kelayakan ahli Parlimen.

Sebabnya, agenda Sidang Khas Dewan Rakyat, Isnin lalu hanya menyentuh pindaan Perkara 10 (kebebasan persatuan) yang menjadi punca kuasa bagi memberi ruang kepada ahli-ahli Dewan Rakyat menggubal satu akta Anti Lompat Parti dengan lebih teratur dan terperinci serta boleh diterima semua pihak.

Beliau berkata, kegagalan meminda Perkara 48 termasuk menambah klausa membabitkan obligasi undang-undang lompat parti boleh mencetuskan krisis perlembagaan dan isu perundangan selepas pembentangan RUU Anti Lompat Parti dan diluluskan kelak.

Malah katanya, ia akan menyebabkan undang-undang Anti Lompat Parti pada masa akan datang boleh dicabar di mahkamah kerana tidak berperlembagaan apabila penggubalannya menyalahi undang-undang tertinggi negara.

“Misalnya, Perkara 48 (1) menyentuh enam faktor kehilangan kelayakan ahli Parlimen antaranya diisytihar bankrap dan disabitkan bersalah, namun perlu ditambah satu lagi klausa iaitu mengambil kira kesan RUU Anti Lompat Parti yang akan diluluskan Parlimen.

“Ya, diakui Perkara 10 yang selama ini memberi kebebasan wakil rakyat menyertai mana-mana parti memang wajar dipinda. Namun ada satu lagi iaitu Perkara 48 sebelum undang-undang lompat diluluskan. Selagi tidak berbuat demikian, boleh menyebabkan perundangan lompat parti tidak berperlembagaan dan boleh dicabar di mahkamah,” katanya.

Azalina sebelum ini pernah menegaskan, Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan wajar dipinda untuk elak potensi krisis perundangan negara pada masa depan.

PERKARA 10 SUDAH MENCUKUPI

Sebaliknya Pakar Perlembagaan, Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, pindaan ke atas Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bersama RUU berkaitan Akta Anti Lompat Parti dilihat sudah mencukupi untuk mengekang amalan lompat parti dalam kalangan ahli Parlimen di negara ini.

Jelas beliau, Perkara 48 fasal 6 sebenarnya berkaitan dengan ahli Parlimen yang meletak jawatan, bukannya dipecat atau keluar daripada parti.

Justeru katanya, ia tidak meliputi ahli Parlimen yang hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen, tetapi hanya meliputi ahli Parlimen yang meletak jawatan sekali gus tidak boleh bertanding di dalam pilihan raya dalam tempoh yang berikutnya selama lima tahun.

“Dalam hal ini, peraturan ini bertujuan untuk mengelak mana-mana pihak menggunakan pilihan raya sebagai tempat untuk menguji kekuatan dan juga pengaruh masing-masing.

“Maka ia dilaksanakan dan diperkenalkan dahulu kerana terdapat ahli Parlimen di selatan tanah air yang meletak jawatan dan bertanding atas tiket bebas untuk kerusi yang sama.

“Sebab itu saya tak fikir peruntukan ini (Perkara 48 fasal 6) boleh memberi kesan kepada ahli-ahli Parlimen yang dipecat atau keluar parti dan tidak meletakkan jawatan, ia hanya untuk mereka yang meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen,” katanya.

Muhammad Fathi berkata, adalah wajar juga cadangan pindaan Perkara 10 itu dibentangkan bersama-sama dengan RUU yang berkaitan dengan akta anti lompat parti yang dicadangkan itu.

Katanya, ini bagi membolehkan ia dapat dinilai sejauh mana skop akta berkenaan dalam usaha untuk mengekang tindakan ahli Parlimen yang ingin melompat parti.

“Pindaan Perkara 10 merupakan satu keperluan memandangkan elemen yang menghalang undang-undang lompat parti. Mahkamah Agung pada 1992 juga telah membuat satu tafsiran yang agak luas berkaitan dengan hak berpersatuan.

“Jadi, bagi memberi jalan kepada undang-undang anti lompat parti di peringkat Persekutuan, maka wujud keperluan untuk memastikan halangan perundangan ini dapat dihilangkan melalui pindaan ke atas perkara itu sendiri.

“Pembentangan yang dibuat secara serentak itu juga membolehkan penilaian dibuat dengan secara menyeluruh bagi mengelak salah faham berkaitan dengan cadangan yang hendak dikemukakan oleh kerajaan,” jelasnya.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula memberitahu, penggubalan undang-undang anti lompat perlu dibuat secara menyeluruh dengan perlu membabitkan sama Perkara 48 yang berkisar soal hilang kelayakan ahli Parlimen.

Beliau bersetuju dengan pandangan Azalina agar pindaan Perkara 48 amat wajar di samping membabitkan sama Perkara 10 yang perlu disertai dengan undang-undang anti lompat parti.

“Sekali pun Perkara 10 berjaya dipinda majoriti Dewan Rakyat, ia belum cukup mampu untuk mengekang amalan lompat parti wakil rakyat tanpa disertakan satu undang-undang menyekat perbuatan itu. Jadi apa tujuan perkara ini dipinda, ia tidak lain untuk menggubal RUU Anti Lompat,” jelasnya.

SENADA TETAPI MAHU PENELITIAN

Walaupun semua ahli Parlimen senada rancangan penggubalan Anti Lompat Parti, namun ada dalam kalangan mereka mahu tafsiran undang-undang itu diteliti khususnya tentang definisi sebenar amalan lompat parti.

Misalnya Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu definisi undang-undang itu dikaji terperinci apabila membabitkan perbuatan melompat parti terpaksa dilakukan dalam keadaan dan sekiranya tiada satu parti mendapat majorti mudah selepas keputusan pilihan raya umum.

Beliau kemudian berkata, keadaan itu bakal menyaksikan satu parti lain perlu menyertai pihak di dalam satu gabungan untuk membentuk kerajaan.

“Ini bukan satu cara lompat jika keputusan itu dibuat parti dan bukannya individu yang kemungkinan ditarik sebagai menteri dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan persoalan berkenaan definisi wakil rakyat melompat parti sekiranya mereka dipecat atau meninggalkan parti kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan parti.

Beliau tidak bersetuju jika situasi itu boleh dianggap sebagai melompat parti dan perlu mengosongkan kerusi dengan serta-merta.

“Jika perkara ini diambil kira, undang-undang ini dianggap zalim apabila ada banyak sebab ahli dipecat atau meninggalkan parti antaranya menyatakan sesuatu yang hak dan partinya sudah lari daripada prinsip perjuangan sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mencadangkan, definisi RUU Anti Lompat Parti wajar merangkumi anggota Dewan Negara yang dilantik Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiausaha Agung UMNO itu berkata, perkara itu amat penting kerana anggota Senator yang dilantik mewakili parti-parti tertentu menerusi pengundian sewaktu sidang DUN.

Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula mencadangkan mana-mana wakil rakyat yang didapati melompat parti tidak dibenarkan bertanding dalam mana-mana pilihan raya sama ada ada di peringkat Parlimen dan DUN dalam tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun.

Beliau menambah pindaan Perkara 10 dan Perkara 48 perlulah hanya membabitkan sekatan ahli Parlimen atau ADUN untuk menyertai parti dan bukannya melibatkan ahli parti biasa.

PEMBENTANGAN MESTI DITERUSKAN

UMNO menerusi mesyuarat Majlis Tertingginya kelmarin mahu pembentangan Akta Anti Lompat Parti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa kompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba mengagalkan mahupun cubaan untuk merubah maksud kepada bentuk perundangan yang lain.

Malah badan tertinggi parti itu berpandangan akta tersebut mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya