Jabatan Kecemasan HRPB akan dinaik taraf

Jabatan Kecemasan HRPB akan dinaik taraf

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) akan dinaik taraf bagi mengurangkan kesesakan dan masa menunggu sekali gus meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pesakit.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, projek naik taraf itu akan diberi keutamaan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi peruntukan belanjawan tahun hadapan.

Katanya, kerja-kerja naik taraf itu bagi memberi keselesaan kepada pesakit terutama yang menunggu lama untuk dihantar ke wad atau Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital ini memang memerlukan satu projek naik taraf segera. Jika kita dapat peruntukan tahun hadapan, ini akan jadi projek keutamaan KKM.

“Kita mahu pastikan jabatan ini dapat diperbesarkan supaya waktu menunggu sebelum dihantar ke wad dapat dikurangkan atau pesakit mendapat kemudahan lebih selesa sekiranya terpaksa menunggu sebelum dihantar ke wad atau ICU,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamaruddin dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lai Ming.

Terdahulu, dalam lawatan kerja tersebut, Khairy turut melawat wad Long Covid dan Rehabilitasi di Hospital Batu Gajah, Makmal Kesihatan Awam Ipoh, Kompleks Kanak-kanak, Wanita dan Kardiologi HRPB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN