BANYUWANGI: Seorang warganegara Malaysia dipercayai menjadi mangsa dalam insiden feri di Selat Bali semalam.
Fauzey Awang, 55, dilaporkan melawat isterinya, Yatini, 60, di Daerah Genteng, Banyuwangi, sebelum merancang kembali ke Malaysia melalui Bali. N
Namun sehingga kini, dia masih belum ditemukan.
Dalam pada itu, Yatini tiba di ruang menunggu Pelabuhan ASDP Ketapang, Banyuwangi, pagi Khamis dengan perasaan sebak.
Dia berkata, telefon bimbit suaminya tidak dapat dihubungi dan gerak hatinya menyatakan lelaki itu mungkin terkorban.
Yatini memberitahu dia berkahwin dengan Fauzey sejak tiga tahun lalu, selepas suami pertamanya meninggal dunia.
“Fauzey pulang ke Banyuwangi setiap tiga bulan untuk melawat saya.
“Malam tadi dia naik bertolak ke Bali. Sepatutnya petang ini dia terbang balik ke Malaysia, pukul 12,” katanya sambil menangis.
Yatini dan keluarganya mendapat tahu tentang kejadian itu melalui media sosial.
Feri KMP Tunu Pratama Jaya berlepas dari Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi menuju Pelabuhan Gilimanuk, Bali dan membawa seramai 65 penumpang termasuk 12 anak kapal.
Feri itu menghantar isyarat kecemasan selepas 24 minit belayar.
Setakat ini, empat mangsa terkorban dengan 30 lagi hilang.










