Isu kenaikan harga ayam dibincang esok

Isu kenaikan harga ayam dibincang esok

RONALD Kiandee berucap pada Majlis Pelancaran Duit Syiling Peringatan 50 Tahun LKIM di Wisma LKIM, Pulau Meranti, Puchong, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama beberapa agensi berkaitan bermesyuarat esok bagi membincangkan isu kenaikan kos pengeluaran ayam serta subsidi. 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, pihaknya mengakui bahawa subsidi 60 sen yang diberikan kepada ayam sebelum ini hanya baik untuk satu dan dua bulan yang lalu. 

“Ini kerana kos pengimportan jagung tidak statik dan meningkat sejak satu bulan dan dua bulan setengah yang lalu. 

“Jadi kita bermesyuarat esok dengan KPDNHEP dan beberapa agensi lain untuk melihat isu kenaikan kos pengeluaran ayam dan isu subsidi yang telah dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita hari ini. 

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin yang berharap harga ayam dapat dinaikkan kepada RM9.90 per kilogram berbanding harga semasa RM8.90 per kilogram.

Ameer Ali berkata, langkah itu perlu dilakukan memandangkan kos peningkatan makanan ayam serta masalah kekurangan tenaga buruh yang masih belum selesai.

Dalam pada itu, Ronald berkata, MAFI komited memberi galakan kepada pengusaha nelayan bagi meneroka industri perikanan laut dalam.

Beliau berkata, langkah itu dapat membangunkan industri perikanan ke tahap yang lebih tinggi.

“Setakat ini, kita sudah keluarkan lebih 20 lesen tuna dan kita mempunyai potensi yang lebih besar berasaskan kuota yang diberikan oleh Indian Ocean Tuna Commission (IOTC).

“Kita harap selepas ini, lebih ramai pengusaha perikanan laut dalam (tuna) ini tampil ke hadapan untuk bekerjasama bersama-sama agensi di bawah MAFI,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN