harga ayam

Harga kawalan ayam sudah tidak relevan

MOHD. FIKRI Kamarudin berharap kerajaan mengkaji semula harga kawalan ayam RM8.90 sekilogram kerana tidak lagi relevan ekoran harga ayam dan dedak yang semakin meningkat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kerajaan digesa mengkaji semula harga kawalan RM8.90 ayam yang didakwa tidak lagi relevan berikutan harganya dari ladang dan borong juga sudah naik.

Hal itu menyebabkan kebanyakan peniaga ayam sudah mula menaikkan harga dan menjual melebihi harga kawalan iaitu sekitar RM9 hingga RM9.50 sekilogram.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga ayam di Pasar Besar Jerantut, Mohd. Fikri Kamarudin, 27, berkata, kerajaan perlu mengkaji semula harga kawalan ayam sempena Ramadan ini kerana ia dilihat menyukarkan peniaga untuk meraih keuntungan tambahan pula bekalan ayam juga semakin berkurangan.

“Tidak dinafikan harga ayam meningkat kerana harga dedak boleh dikatakan hampir setiap bulan meningkat, namun saya masih lagi menjual pada harga kawalan ditetapkan kerajaan, RM8.90.

“Kerajaan perlu menilai semula harga kawalan ini atau mengkaji mekanisme dalam melaksanakan harga kawalan ini agar ia tidak merugikan pelbagai pihak sama ada pembekal atau penternak, pemborong, peniaga mahupun pembeli,” katanya di sini semalam.

Mohd. Fikri berkata, harga kawalan itu memberi kesan kepada peniaga-peniaga kecil terutama yang mendapatkan bekalan ayam dari pemborong.

“Saya mengambil bekalan terus dari ladang. Itupun harga ayam sudah meningkat dari RM6.05 kepada RM6.30. Itu belum masuk kos pengangkutan yang mana ada ketikanya saya terpaksa ambil bekalan ayam dari negeri lain jika bekalan di Bera dan Triang habis.

“Bagi peniaga yang terpaksa mengambil ayam dari pemborong, mereka hanya dapat keuntungan sekitar 40 sen sahaja seekor memandangkan harga dibeli dari pemborong adalah sekitar RM8.50 sekilogram,” katanya.

Menurutnya lagi, keuntungan yang diperoleh dengan menjual ayam pada harga kawalan ada ketika tidak mencukupi untuk membayar gaji pekerja.

“Tidak hanya isu harga ayam meningkat, bekalan juga semakin berkurangan. Jika sebelum ini saya boleh ambil ayam sekitar 700 ekor, sekarang hanya sekitar 500 ekor sahaja sehari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya